Maklum balas kunci kejayaan pengajaran, pembelajaran

Maklum balas kunci kejayaan pengajaran, pembelajaran

MAKLUM balas bersifat membina dapat menggalakkan pelajar terus menuntut ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAKLUM balas merupakan elemen penting yang sering kali dipandang remeh dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tanpa maklum balas yang berkesan, guru dan murid akan menghadapi kesukaran mengenal pasti kekuatan mahupun kelemahan masing-masing. Maklum balas bukan sahaja membantu meningkatkan prestasi murid, malah dapat memperbaiki pendekatan guru dalam menyampaikan ilmu.

Pertama sekali, maklum balas membantu murid memahami tahap penguasaan dalam pelajaran. Apabila guru memberikan maklum balas yang jelas dan membina, murid dapat mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki. Misalnya, dalam subjek Matematik, kesalahan dalam penyelesaian soalan dapat diperbetulkan lebih awal melalui maklum balas guru sebelum murid terus mengulangi kesilapan sama.

Selain itu, maklum balas juga dapat meningkatkan motivasi murid. Apabila murid menerima penghargaan atau pujian, mereka akan berasa lebih dihargai dan terdorong untuk terus berusaha. Bagi murid yang kurang cemerlang, maklum balas bersifat membina memberi harapan mereka mampu mencapai kejayaan sekiranya terus berusaha.

Melalui respons murid, guru boleh mengenal pasti sama ada pendekatan yang digunakan sesuai atau tidak. Guru boleh menukar pendekatan atau menggunakan bahan bantu mengajar yang lebih sesuai jika mendapati murid kurang memahami topik yang diajar. Dengan ini, proses pembelajaran menjadi lebih fleksibel dan berpusatkan murid.

Dalam konteks pendidikan abad ke-21, maklum balas mendorong pembelajaran berasaskan kendiri. Murid belajar untuk memantau prestasi berdasarkan maklum balas yang diterima. Mereka tidak hanya bergantung kepada guru, tetapi mula mengamalkan pembelajaran secara berdikari. Hal ini selaras dengan matlamat melahirkan murid yang mempunyai kemahiran insaniah tinggi.

Maklum balas yang efektif juga perlu berlaku secara dua hala. Guru yang terbuka menerima pandangan murid mampu menambah baik cara penyampaian. Sebagai contoh, murid boleh mencadangkan kaedah pengajaran yang lebih menyeronokkan atau meminta lebih banyak latihan untuk topik tertentu.

Selain daripada aspek akademik, maklum balas membantu perkembangan sahsiah murid. Guru boleh memberi komen berkaitan disiplin, etika dan kerjasama murid dalam aktiviti kelas. Hal ini membantu murid memahami kepentingan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian dan bukan sekadar mengejar pencapaian akademik semata-mata.

Maklum balas juga membantu mengeratkan hubungan antara guru dan murid.

Dalam era digital, maklum balas boleh disalurkan melalui pelbagai platform seperti e-mel, aplikasi pembelajaran dan perisian khusus.

Maklum balas juga menjadi asas kepada pembelajaran kolaboratif. Dalam aktiviti berkumpulan, rakan sebaya boleh saling memberi maklum balas antara satu sama lain. Ini bukan sahaja meningkatkan pembelajaran, malah memupuk kemahiran komunikasi, toleransi dan empati dalam kalangan murid.

Bagi ibu bapa pula, maklum balas daripada guru penting untuk memantau perkembangan anak-anak. Apabila guru berkongsi maklumat mengenai pencapaian dan masalah anak, ibu bapa dapat memberikan sokongan yang lebih baik di rumah. Kerjasama tiga penjuru antara guru, murid dan ibu bapa akan memperkukuh keberkesanan proses pembelajaran.

Namun begitu, maklum balas perlu disampaikan dengan berhati-hati. Guru harus mengelak komen yang menjatuhkan semangat murid. Sebaliknya, maklum balas perlu bersifat membina, jelas dan disampaikan dalam nada yang positif. Dengan cara ini, murid akan lebih bersedia menerima teguran dan memperbaiki kelemahan diri.-UTUSAN

NOR AZIRAH A. R
SMK Dengkil, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN