Kembalikan kepercayaan institusi pendidikan

Kembalikan kepercayaan institusi pendidikan

ChatGPT hanyalah alat sekadar membantu memudahkan pencarian maklumat dan menyusun isi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBELUM ini tular kisah pelajar yang mendakwa berjaya menyiapkan tugasan hanya menggunakan ChatGPT dan alat kecerdasan buatan (AI) walaupun menerima tugasan di saat akhir.

Tindakan pelajar itu tanpa disedari seperti ‘menipu’ pensyarah.

Teknologi AI seperti ChatGPT adalah ciptaan manusia dan ciptaan ini tidak akan sesekali mampu menandingi kehebatan akal, emosi dan moral yang dianugerahkan Allah SWT.

ChatGPT hanyalah alat membantu memudahkan pencarian maklumat dan menyusun isi. Ia bukannya menjadi penulis sebenar kepada sesebuah tugasan. Pada hakikatnya kebanyakan pensyarah mampu mengenal pasti dengan mudah hasil kerja yang terlalu sempurna atau lari daripada gaya bahasa pelajar.

Bahkan dalam kalangan pendidik sendiri wujud perbincangan berterusan mengenai kaedah terbaik untuk menilai keaslian hasil kerja pelajar termasuk memperkenalkan pembentangan, ujian lisan dan projek yang berasaskan situasi sebenar.

Institusi pengajian tinggi (IPT) bukan sekadar tempat menuntut ilmu teori semata-mata sebaliknya merupakan medan latihan dan persediaan kepada pelajar sebelum mereka menempuh alam kerjaya yang lebih mencabar.

Sekiranya pelajar tidak jujur ketika menyiapkan tugasan, bagaimana pula sikap mereka apabila berhadapan dengan tekanan kerja yang sebenar? Sikap ambil mudah dan terlalu bergantung kepada AI akan hanya melemahkan daya fikir, kreativiti dan keupayaan menyelesaikan masalah yang mana inilah merupakan antara kemahiran penting yang dicari oleh pihak industri.

Sebagai pensyarah, nilai integriti dalam menuntut ilmu perlu disematkan dalam jiwa setiap pelajar. Didikan perlu diberi secara berkala. Sedarkan pelajar yang keberkatan ilmu tidak datang daripada gred semata-mata tetapi melalui usaha, kejujuran dan doa yang ikhlas.

Pelajar harus dididik untuk jujur kepada diri sendiri kerana kejayaan sebenar bukan hanya diukur pada transkrip semata tetapi pada nilai insan yang terbentuk sepanjang proses menimba ilmu.

Sebagai seorang pendidik dan insan yang mencintai ilmu, marilah kita kembalikan kepercayaan kepada akal diri sendiri dan institusi akademik.

Teknologi memang berkembang dengan sangat pesat. Kita harus bijak dalam menggunakannya. ChatGPT seperti teknologi lain yang harus digunakan sebagai pembantu, bukan sebagai pengganti.

Hanya dengan integriti dan ilmu yang berkat, kita dapat melahirkan generasi profesional yang bukan sahaja cemerlang, malah jujur dan beretika pada masa hadapan.-UTUSAN

DR. SITI HAJAR ARBAIN
Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Perisian
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×