Jangan tangguh pembangunan pengangkutan rel

Jangan tangguh pembangunan pengangkutan rel

PEMBANGUNAN pengangkutan rel moden bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan asas dalam merangka masa hadapan mobiliti bandar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PROJEK Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang merupakan inisiatif penting dalam memperkukuh pengangkutan awam negeri ini. Dengan jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) melibatkan 21 stesen, projek ini dijangka membantu mengurangkan kesesakan jalan raya yang semakin membebankan. Selain itu, pembangunan LRT adalah langkah ke hadapan dalam menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang moden, cekap dan lestari.

Dalam konteks pembangunan bandar, pengangkutan rel memainkan peranan strategik sebagai tulang belakang sistem mobiliti yang mampan. LRT bukan sekadar projek infrastruktur tetapi pelaburan jangka panjang yang akan membentuk pola perjalanan masyarakat, meningkatkan aksesibiliti serta menyumbang kepada kualiti hidup lebih baik di kawasan bandar.

Mutakhir ini, timbul cadangan supaya projek LRT ditangguhkan dengan memberi keutamaan untuk menaik taraf Jalan Raya Timur Barat (JRTB). Meskipun usaha meningkatkan jaringan jalan raya mempunyai merit tersendiri tetapi ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menangguhkan atau menggantikan pembangunan pengangkutan awam berasaskan rel.

Pengalaman di bandar utama dunia membuktikan penyelesaian kesesakan lalu lintas tidak boleh bergantung semata-mata kepada penambahan atau penaiktarafan jalan raya. Tanpa sistem pengangkutan awam berkapasiti tinggi, penggunaan kenderaan persendirian akan terus meningkat lalu mengekalkan kitaran kesesakan yang sama. Pada masa sama, pelepasan karbon yang tinggi akan memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Pengangkutan rel seperti LRT mempunyai kelebihan yang tidak dapat ditandingi mod pengangkutan lain. Ia mampu membawa lebih ramai penumpang dalam satu masa, mengurangkan kesesakan jalan raya dan membantu menurunkan tahap pencemaran udara di bandar.

Pembangunan sistem rel juga berpotensi untuk merangsang pembangunan berorientasikan transit (TOD). Ini akan menyokong pertumbuhan bandar yang lebih terancang dan mesra pengguna. Ia adalah pendekatan yang semakin diamalkan di banyak bandar utama dunia dalam usaha mencapai keseimbangan antara pembangunan fizikal dan keperluan mobiliti rakyat.

Dalam masa sama, menaik taraf JRTB merupakan langkah penting untuk meningkatkan aliran trafik bagi pengguna jalan raya. Namun, kedua-dua aspek ini iaitu pembangunan jalan raya dan pengangkutan rel perlu dilaksanakan secara seimbang. Sistem pengangkutan yang efisien memerlukan kedua-duanya berperanan saling melengkapi bukan bersaing antara satu sama lain. Pelaburan yang seimbang akan memastikan semua golongan masyarakat sama ada pengguna jalan raya mahupun pengangkutan awam memperoleh manfaat yang sewajarnya.

Tambahan pula, pelaksanaan projek LRT kini berada di landasan positif dengan komitmen jelas daripada Kerajaan Persekutuan serta perancangan terperinci yang telah dirangka.

Penangguhan projek pada peringkat ini hanya akan melambatkan kemajuan yang dicapai. Malah, ia membazirkan sumber yang telah diperuntukkan.

Rakyat Pulau Pinang berhak menikmati sistem pengangkutan awam yang cekap, selamat dan lestari. Pengurangan kebergantungan kepada kenderaan persendirian merupakan langkah penting ke arah mencapai bandar yang lebih mampan dan mesra alam.

Pembangunan pengangkutan rel moden bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan asas dalam merangka masa hadapan mobiliti bandar. Usaha membina sistem pengangkutan awam berasaskan rel yang cekap dan mampan mesti diteruskan demi manfaat jangka panjang serta kelestarian persekitaran bandar.-UTUSAN

DR. NORDIANA MASHROS
Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN