HARI ini segala maklumat berada di hujung jari. Platform media sosial menjadi sumber utama masyarakat mendapatkan berita.
Walaupun kemudahan ini membawa banyak manfaat, ia juga menimbulkan cabaran besar dari segi kesahihan maklumat. Oleh itu, masyarakat perlu lebih berwaspada dan memastikan setiap berita yang diterima disemak sumber dan kebenarannya sebelum dikongsi atau dipercayai.
Kerana itu pentingnya menyelidik dan membuat pembacaan mendalam sebelum menerima atau mempercayai sesuatu berita.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 6: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (tabayyun) terlebih dahulu, agar kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan kejahilan, lalu kamu menyesal atas perbuatan kamu itu.
Dalam sebuah hadis, Nabi SAW menyatakan bahawa “cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)”.
Ibn Hibban dalam Kitab al-Majruhin menyatakan hadis ini merupakan larangan bagi seseorang untuk menyebarkan semua berita didengar sehinggalah mengetahui secara yakin akan kesahihannya.
Dalam dunia moden hari ini, media memainkan peranan penting dalam melaporkan berita semasa. Kecanggihan teknologi membolehkan maklumat diakses dengan pantas dan meluas. Namun begitu, kekacauan boleh berlaku sekiranya masyarakat gagal membezakan antara berita sahih dan palsu.
Lebih membimbangkan, masyarakat cenderung mempercayai sesuatu berita hanya kerana ia tular dan tersebar luas di pelbagai saluran, walaupun tidak benar.
Terdapat segelintir netizen yang gemar menjadi individu terawal berkongsi maklumat tanpa melakukan semakan, pembacaan yang teliti atau meneliti sumber yang dipetik. Sikap sebegini bertentangan dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan nilai tanggungjawab, integriti dan etika dalam kehidupan bermasyarakat.
Dalam usaha membentuk masyarakat yang berilmu, beradab dan sejahtera, setiap individu perlu memainkan peranan memastikan maklumat sahih dan seterusnya tidak memberi kesan buruk kepada keharmonian negara.
Antara kesan utama apabila berita palsu tersebar ialah terbentuknya persepsi negatif yang boleh menimbulkan kebencian terhadap individu tertentu. Hal ini amat membimbangkan kerana ia boleh mencemarkan imej serta menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan.
Jika dibiarkan berterusan, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan reputasi seseorang, malah boleh menggugat kestabilan sosial dan politik negara.-UTUSAN
MOHAMAD KHAIRUN NAJMI MOHD. FADZLI
Penolong Pengarah (DMY)
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)










