Israel biadab serang kapal bantuan Madleen

Israel biadab serang kapal bantuan Madleen

AKTIVIS Greta Thunberg dan kru berdiri di atas kapal bantuan Madleen meninggalkan pelabuhan Catania, Itali untuk ke Gaza bagi memberi bantuan kemanusiaan. – agensi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA sekali lagi dikejutkan dengan tindakan biadab rejim Israel apabila kapal bantuan kemanusiaan Madleen, milik Freedom Flotilla Coalition (FFC), diserang secara ganas di perairan antarabangsa, sebuah wilayah yang secara undang-undang bebas daripada kuasa mana-mana negara.

Kapal Madleen bukan kapal perang kerana tidak membawa senjata atau ancaman ketenteraan. Sebaliknya, hanya membawa susu bayi, makanan kering, bekalan perubatan dan barangan penting yang amat diperlukan oleh rakyat Gaza yang terus hidup dalam derita di bawah sekatan tidak berperikemanusiaan sejak lebih 17 tahun lalu.

Tindakan ketenteraan Israel ke atas kapal ini jelas merupakan pelanggaran serius terhadap Konvensyen Undang-undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) dan juga mencabuli perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengarahkan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza diberikan tanpa sekatan.

Perkara ini bukan insiden terpencil sebaliknya merupakan siri keganasan berterusan Israel terhadap misi kemanusiaan. Hanya beberapa minggu sebelum ini, kapal Conscience, juga milik FFC, diserang dengan dron tentera Israel di perairan berhampiran Malta.

Akibatnya, empat sukarelawan antarabangsa mengalami kecederaan fizikal dan kapal tersebut musnah dalam kebakaran besar, tanpa senjata atau provokasi, hanya niat murni untuk membantu sesama manusia.

Israel tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk menahan sukarelawan antarabangsa di atas kapal Madleen. Tindakan menahan kru, menyekat bantuan dan merampas kapal adalah tindakan haram. Ia juga adalah bentuk intimidasi terhadap usaha kemanusiaan global, menghalang bantuan sampai ke tangan mangsa dan mematahkan solidariti dunia terhadap Palestin.

Berhadapan dengan kebiadaban yang berulang ini, FFC dan rakan-rakan kemanusiaan dunia, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini, menuntut dengan tegas agar:
– Kerajaan Malaysia mengeluarkan kenyataan media mengecam tindakan tentera Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dengan menculik aktivis kemanusiaan.
– Sekatan haram ke atas Gaza dihentikan serta-merta.
– Semua sukarelawan yang ditahan tentera Israel dibebaskan tanpa syarat.
– Bantuan kemanusiaan dibenarkan terus ke Gaza tanpa penguasaan Israel.
– Mereka yang bertanggungjawab atas serangan terhadap Conscience dan Madleen dibawa ke muka keadilan.

Selagi Gaza dikepung dan diserang, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), MyCARE, Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Malaysia (MAHAR) serta NGO lain akan terus bersuara dan membantu penduduk di sana.

Oleh itu, kami menyeru semua pihak dan komuniti antarabangsa berterusan bertindak tegas dan memberi tekanan terhadap Israel agar bumi Gaza dan Palestin dapat dibebaskan sepenuhnya, insya-Allah.-UTUSAN

31 NGO-NGO MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×