Hilang minat terhadap Sains beri implikasi kepada negara

Hilang minat terhadap Sains beri implikasi kepada negara

KESAN kelemahan asas dalam mata pelajaran Sains bukan sahaja memberi implikasi kepada individu tetapi turut mencetuskan kesan domino serius terhadap sistem pendidikan dan pembangunan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sains bukan sekadar subjek di bilik darjah, tetapi nadi kepada kemajuan tamadun manusia. Ia menjadi tunjang pembangunan teknologi, kesihatan, ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Melalui sains, manusia mampu memahami fenomena alam, merungkai misteri kehidupan dan mencipta pelbagai inovasi daripada rawatan penyakit, sistem pengangkutan moden, hinggalah penggunaan tenaga boleh diperbaharui. Sains membekalkan masyarakat dengan asas bukti dalam membuat keputusan berkaitan isu global seperti perubahan iklim, keselamatan makanan dan pengurusan sumber semula jadi.

Krisis kekurangan pelajar aliran Sains di sekolah-sekolah Malaysia menjadi ancaman serius terhadap masa hadapan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara. Walaupun ada sedikit peningkatan dari segi kadar pendaftaran pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada 50.83 peratus pada 2024 berbanding 41.84 peratus pada 2019, namun angka ini masih jauh daripada sasaran 60:40 yang ditetapkan Kementerian Pendidikan sejak puluhan tahun lalu.

Lebih mengejutkan, peningkatan ini bukan sepenuhnya disumbangkan oleh aliran Sains tulen, sebaliknya bidang teknikal dan vokasional. Ini bermakna minat terhadap Sains tulen, biologi, fizik, kimia, masih lemah.

Persepsi negatif terhadap bidang ini masih menebal. Ramai pelajar gagal memahami konsep asas seperti tenaga, ekosistem, fotosintesis, jisim, bahan dan proses saintifik. Akibatnya, apabila melangkah ke peringkat menengah dan berhadapan dengan topik lebih abstrak serta kompleks, mereka tidak hanya keliru tetapi terus menyerah kalah.

Negara tidak akan mampu membina masa hadapan berasaskan teknologi dan inovasi jika pelajarnya sudah menyerah kalah di peringkat awal. Ini bukan sekadar isu pendidikan tetapi amaran kepada masa hadapan negara.

Selain itu, kekurangan guru terlatih dalam mata pelajaran Sains , khususnya di kawasan luar bandar turut menjadi punca utama kurangnya pelajar memilih aliran ini. Di Sarawak, lebih separuh daripada guru yang mengajar Sains di sekolah rendah bukan daripada opsyen subjek itu.

Keadaan ini membimbangkan kerana tanpa guru berkelayakan, pengajaran Sains menjadi kurang berkesan, lebih-lebih lagi apabila ia turut dibebani dengan kekurangan peralatan makmal atau fasiliti yang usang. Apabila subjek Sains diajar oleh guru bukan opsyen, pelbagai masalah timbul, antaranya kurang keyakinan dalam menyampaikan konsep, kesukaran mengendalikan eksperimen dan ketidakmampuan menerangkan idea abstrak dengan jelas.

Akibatnya, pelajar tidak mendapat pengalaman pembelajaran menyeronokkan atau bermakna, lalu gagal membina pemahaman yang kukuh. Lebih parah, mereka mudah keliru, cepat berputus asa dan akhirnya menjauhkan diri daripada subjek ini.

Tanpa asas yang kuat di peringkat awal, pelajar akan bergelut apabila berhadapan dengan subjek teras seperti fizik, kimia dan biologi di peringkat menengah. Masalah ini bukan sekadar menjejaskan keputusan peperiksaan, tetapi turut menghakis potensi negara untuk melahirkan generasi celik STEM yang diperlukan bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Kesan daripada kelemahan asas dalam mata pelajaran Sains bukan sahaja memberi implikasi kepada individu, tetapi turut mencetuskan kesan domino yang serius terhadap sistem pendidikan dan pembangunan negara. Apabila pelajar semakin menjauhi aliran Sains, institusi pengajian tinggi akan mengalami kekurangan kemasukan dalam program berkaitan teknologi, kejuruteraan, sains kesihatan dan sains tulen. Keadaan ini seterusnya menyempitkan saluran penghasilan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kritikal ini.

Dalam jangka panjang, Malaysia bakal berdepan defisit modal insan dalam sektor strategik yang menjadi tulang belakang ekonomi masa hadapan dalam bidang bioteknologi, kejuruteraan, tenaga boleh diperbaharui, teknologi maklumat dan automasi.-UTUSAN

DR. RAZIF DASIMAN
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN