Hargai arkib sebagai warisan negara

Hargai arkib sebagai warisan negara

TANPA arkib, sejarah akan hilang, identiti akan kabur, dan perpaduan akan pudar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAMAT Menyambut Minggu Arkib Antarabangsa 2025 kepada seluruh warga arkib, para penyelidik, penjawat awam dan rakyat Malaysia yang menghargai warisan dokumentasi negara. Arkib Negara Malaysia (ANM) merupakan ahli aktif berstatus ahli institusi (Kategori A) dalam Majlis Arkib Antarabangsa (ICA).

Sambutan ini bukan sahaja meraikan jasa dan komitmen warga arkib tetapi mengajak seluruh rakyat mendekati khazanah sejarah negara yang menjadi teras kepada jati diri dan perpaduan nasional. Tema sambutan tahun ini, ‘Arkib Boleh Diakses, Arkib Untuk Semua’, sangat bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk memastikan sejarah dan dokumen negara dapat diakses dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.

Arkib ialah penjaga memori bangsa. Ia bukan hanya menyimpan sejarah negara, malah menyatukan naratif semua komuniti di Malaysia daripada perjuangan kemerdekaan, pembinaan negara, sehingga kepada usaha memperkukuh integrasi nasional hari ini. Tanpa arkib, sejarah akan hilang, identiti akan kabur dan perpaduan akan pudar. Justeru, kita mesti terus menyokong institusi arkib dan memperkasakan nilai sejarah sebagai milik semua.

Sejajar dengan tema tahun ini, Arkib Negara mengalu-alukan kehadiran seluruh rakyat Malaysia untuk mengunjungi 10 buah Memorial Negarawan yang dibuka kepada orang ramai secara percuma sepanjang tahun. Inisiatif ini bertujuan merakyatkan sejarah dan mendekatkan masyarakat, khususnya generasi muda, dengan warisan kepemimpinan negara.

Kementerian juga menyokong penuh usaha inisiatif Arkib Komuniti dan dokumentasi tempatan termasuk sejarah lisan masyarakat Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak, serta minoriti budaya yang membantu memperluas naratif sejarah kita agar lebih inklusif dan adil. Sempena Minggu Arkib Antarabangsa ini, marilah kita bersama-sama memanfaatkan khazanah sejarah negara, menyemai rasa cinta tanah air, dan memperkukuh semangat perpaduan melalui penghayatan kepada perjuangan masa lalu.-UTUSAN

KEMENTERIAN PERPADUAN NEGARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN