KORBAN keganasan Israel ke atas rakyat Palestin saban hari semakin membimbangkan. Serangan berterusan itu bukan sahaja melanggar prinsip kemanusiaan malah melanggar perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada 19 Januari lalu.
Pada Februari lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan mengejut untuk mengambil alih Semenanjung Gaza yang musnah akibat peperangan atas alasan membangunkan Gaza secara ekonomi. Trump turut bercadang dan menggalakkan perpindahan tetap rakyat Palestin ke negara jiran bagi memudahkan urusan penambahbaikan dan penyelesaian jangka panjang. Tindakan ini mencetus kritikan hebat dan persoalan mengenai hak dan kuasa yang ada pada AS untuk mengambil dan menguruskan Palestin.
Pada 15 Mei lalu, Trump sekali lagi menyatakan hasrat untuk tetap mengambil alih Gaza dan menjadikan ia sebagai wilayah zon bebas.
Tindakan Trump ini secara zahirnya dilihat seperti cuba memainkan watak ‘hero’ dalam menangani isu ini dengan kononnya membantu rakyat Gaza mendapat kebebasan dan menghentikan peperangan tetapi kita melihat seperti mempunyai agendanya tersendiri ke atas tanah orang Islam itu.
Trump mahu memiliki Gaza dengan membentuknya kembali mengikut acuan AS dan menjadikan ia sebagai ‘Riviera Asia Barat’ atau bandar peranginan pantai Asia Barat. Situasi yang memburuk ini mendorong Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia (IUMS) untuk mengeluarkan seruan rasmi bagi mempertimbangkan jihad ketenteraan bagi membela dan membebaskan bumi Gaza serta menghalang serangan ganas Israel ke atas rakyat Palestin.
IUMS juga mendesak supaya normalisasi hubungan Arab-Israel dihentikan dan diharamkan. Namun begitu, seruan jihad ini mendapat pelbagai reaksi dan tindak balas yang berbeza dari seluruh negara Islam dunia. Meskipun negara Islam yang lain terutama sekali negara Arab membantah dan menolak keras perpindahan Palestin dan keganasan Israel ke atas Gaza, namun ia hanya sekadar menyatakan bantahan tetapi tiada tindakan konkrit serta tegas yang dilakukan.
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut didesak untuk bertindak lebih agresif dan perlu memainkan peranan yang lebih tegas bagi menghalang Israel dari terus melakukan serangan ke atas Gaza. Setakat ini, OIC hanya mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan Israel tetapi belum ada tindakan konkrit seperti tekanan diplomatik dan sebagainya terhadap Israel.
Perjuangan ke atas Gaza tidak sepatutnya hanya di fasa penyebaran kesedaran dan mengeluarkan kenyataan semata-mata lagi tetapi memerlukan tindakan tegas.
Umat Islam tidak sepatutnya kekal berdiam diri lagi. Kesatuan dan tindakan yang kolektif adalah antara cara untuk membantu menghentikan kekejaman Israel. Banyak tindakan yang boleh dilakukan bagi membantu dan menzahirkan kesatuaan kita terhadap Muslim di Palestin. Seruan jihad ini bukan sekadar suara kemarahan akan tetapi seruan tanggungjawab dan amanah terhadap ummah.-UTUSAN
NUR AQILAH MUNIRUL KARNO ROOS
Pelajar Tahun 3,
Jabatan Sejarah, Tamadun
dan Pendidikan Islam,
Universiti Malaya










