Debat bukan untuk cari siapa yang menang atau kalah

Debat bukan untuk cari siapa yang menang atau kalah

DEBAT bukanlah untuk mencari siapa yang menang atau siapa yang kalah, ia adalah satu medan yang membicarakan tentang isu-isu semasa yang berlegar dalam mahupun di luar negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas dinobatkan sebagai johan dalam Pertandingan Debat Koperasi Piala Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Peringkat IPT 2025 baru-baru ini dan berjaya mengekalkan kejuaraan tersebut selama dua tahun berturut-turut.

Debat merupakan satu platform bersifat ilmiah dan formal dalam membahaskan sesuatu isu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud perdebatan adalah pertukaran fikiran biasanya yang bertentangan mengenai sesuatu hal dengan masing-masing pihak mengeluarkan pendapat.
Imbas kembali pada 2023 apabila Wan Amzar Izzudin Wan Mohd Azlan dinobatkan sebagai pendebat terbaik dan Abdul Muizz Hasanulddin pendebat kedua terbaik sempena Pertandingan Debat Sekolah-Sekolah Peringkat Antarabangsa yang berlangsung di Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-

Sekolah Antarabangsa di Doha, Qatar, suatu detik kenangan dan sejarah apabila beliau berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Banyak kelebihan jika dilihat dari sudut positif tentang sesebuah penganjuran program atau pertandingan debat. Pertama, sebagai satu platform terbuka dan sihat antara kedua-dua belah pihak.

Ini amat bertepatan bagi mengelakkan sesuatu isu berlarutan dan perdebatan dapat dijalankan secara terbuka dan profesional.

Kedua, melalui debat juga masyarakat akan lebih cakna akan isu-isu semasa yang berlaku.

Tidak seperti kata pepatah katak di bawah tempurung, yang tidak ambil tahu langsung akan perkembangan semasa yang berlaku sama ada dalam konteks ekonomi, politik, sosial, pendidikan dan lain-lain lagi.

Ketiga, dengan debat juga ia dapat mengasahkan bakat terpendam seseorang dalam perbahasan. Selain itu, ia dapat meningkatkan keyakinan diri dalam pengucapan awam.

Selain berpidato dan syarahan, berada di pentas debat juga bukanlah suatu tugas yang mudah, ia satu perjuangan yang getir dalam membawa peranan dan mengekalkan hujah-hujahnya sama ada di pihak kerajaan mahupun pihak pembangkang.

Secara tidak langsung proses keyakinan diri akan meningkat apabila berucap di depan khalayak ramai.

Keempat, debat juga merupakan jambatan dalam mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain disamping dapat bertukar-tukar fikiran dalam sesuatu isu. Umum mengetahui bahawa negara yang tercinta ini lahirnya hasil toleransi dan kesepakatan semua kaum di dalam bumi bertuah Malaysia ini.

Oleh itu, jadikan debat sebagai titik mencari kebersamaan dan bukan perbezaan dalam usaha mengekalkan keharmonian negara ini.

Akhir sekali, debat mampu menjadi ideologi efektif dalam melahirkan sebuah tamadun bangsa yang mahir dalam menguasai bahasa ibunda. Tidak dapat dinafikan dengan kecanggihan teknologi dan peredaran zaman masa kini menjadikan masyarakat di Malaysia semakin kurang berminat untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu, bahkan tidak kurang juga yang malu untuk bertutur dalam bahasa Melayu dan lebih mengagungkan bahasa asing.

Justeru, debat adalah kaedah terbaik dalam mengalakkan serta membudayakan lagi bahasa kebangsaan terutamanya dalam acara-acara rasmi dan formal.

Debat bukanlah sekadar untuk mencari siapa yang menang atau siapa yang kalah semata-mata, ia adalah satu medan yang membicarakan tentang isu-isu semasa yang berlegar dalam mahupun di luar negara. Debat juga dilihat menguji pemikiran dalam mendapatkan maklumat serta fakta yang sahih sebelum diperbahaskan.

Akhir kata, jika bicara itu nadi bangsa, maka debat adalah degup yang menyalakan pemikiran dan perpaduan. – UTUSAN

AFNAN HASIM
Institut Koperasi Malaysia (IKMa)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN