KUALA TERENGGANU: PKR Terengganu sedia mengadakan debat terbuka dengan Ahli Jawatankuasa Pas, Datuk Dr. Azman Ibrahim berhubung isu rantaian bekalan minyak Malaysia.
Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu, Aiman Wan Alias berkata, debat itu penting bagi memastikan rakyat mendapat penjelasan berasaskan fakta dan kefahaman ekonomi yang tepat.
Katanya, ia terutama dalam menilai bagaimana konflik geopolitik global memberi kesan kepada rantaian bekalan minyak mentah dunia serta implikasinya terhadap harga minyak dan ekonomi Malaysia.
“PKR Terengganu percaya bahawa isu strategik seperti ini tidak boleh dihuraikan secara simplistik. Sebaliknya, ia menuntut perbincangan yang matang, berasaskan data dan berpaksikan realiti ekonomi global,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, Azman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu dilaporkan berkata, kenaikan harga minyak di negara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan Malaysia mempunyai sumber petroleum sendiri.
Katanya, di perairan Terengganu sahaja terdapat kira-kira 120 pelantar minyak yang sedang beroperasi, walaupun jumlah itu berubah mengikut keadaan semasa.
Aiman berkata, kenyataan Azman berhubung rantaian bekalan minyak negara adalah tidak tepat serta berpotensi mengelirukan rakyat.
“Kenyataan bahawa minyak negara tidak melalui laluan antarabangsa seperti Selat Hormuz mencerminkan kefahaman yang terlalu simplistik terhadap bagaimana rantaian bekalan minyak global berfungsi.
“Realitinya, pasaran minyak dunia saling berkait dan pergerakan harga serta bekalan tidak boleh dilihat secara terpisah daripada laluan strategik antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar bekalan minyak mentah dan produk petroleum dunia termasuk yang diproses oleh Petronas bergantung kepada kestabilan laluan maritim global yang terdedah kepada risiko geopolitik.
Dalam konteks semasa, katanya, ketegangan antara Iran dan Amerika Syarikat memberi kesan langsung kepada kestabilan rantaian bekalan ini.
“Sebarang gangguan terhadap laluan utama seperti Selat Hormuz memberi implikasi kepada harga minyak dunia, kos import dan erta tekanan kepada ekonomi negara termasuk Malaysia.
“Oleh itu, menafikan hubungan ini bukan sahaja tidak tepat malah memperlihat kegagalan memahami asas ekonomi tenaga global,” katanya. – UTUSAN










