Usah letak agenda politik lebih daripada ibadah haji, umrah

Usah letak agenda politik lebih daripada ibadah haji, umrah

SARANAN untuk menangguhkan ibadah haji dan umrah hanya untuk mengundi dalam pilihan raya hanya mengelirukan selain menyimpang daripada ajaran Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HIMPUNAN Gerakan Islam Malaysia (Hikam) kesal dan bimbang terhadap kenyataan seorang pemimpin politik yang menyatakan mengundi bagi memenangkan politik Islam lebih utama daripada menunaikan ibadah haji dan umrah. Beliau juga menyeru umat Islam menangguhkan ibadah tersebut untuk mengundi.

Pandangan ini turut disandarkan kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah, kononnya menunjukkan Rasulullah pernah menangguhkan umrah.

Cerita yang sebenarnya, baginda tidak pernah berniat menangguhkan ibadah umrah, bahkan berangkat ke Mekah bersama para sahabat dalam usaha melaksanakannya. Cuma terhalang secara fizikal oleh pihak Quraisy, lalu termeterailah Perjanjian Hudaibiyah, iaitu langkah strategik dakwah dan diplomasi, bukan penangguhan yang disengajakan demi keutamaan lain.

Oleh itu, Hikam menolak sekeras-kerasnya pandangan yang meletakkan agenda politik lebih utama daripada ibadah haji dan umrah. Kenyataan sebegini bukan sahaja mengelirukan masyarakat tetapi juga menyeleweng daripada kefahaman sebenar syariat Islam.

Hikam menyeru agar sebarang pandangan atau ijtihad berkaitan hukum agama, khususnya yang melibatkan isu sensitif dan ibadah utama seperti haji dan umrah, dirujuk kepada pihak berautoriti agama seperti Jabatan Mufti Negeri dan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Kami yakin pihak berautoriti mempunyai ilmu, hikmah dan konteks menyeluruh dalam membuat pertimbangan hukum, seterusnya memberikan panduan tepat kepada masyarakat Islam.

Pihak berautoriti agama perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan pandangan atau ‘fatwa’ menyimpang daripada kebenaran dan boleh mengelirukan masyarakat, demi menjaga kesucian ajaran Islam serta keharmonian umat.

Semoga dengan kesedaran ini, kita dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam dan mengekalkan keharmonian serta kefahaman agama yang sebenar dalam masyarakat kita.

Sebagai peringatan bersama, rujuklah kepada pihak berautoriti dalam hal-hal berkaitan hukum agama dan peliharalah adab dalam berdakwah serta menyampaikan pandangan.-UTUSAN

HIMPUNAN GERAKAN ISLAM MALAYSIA (HIKAM)
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN