Tingkat ketahanan sosial dalam kalangan negara ASEAN

Tingkat ketahanan sosial dalam kalangan negara ASEAN

KETAHANAN sosial merupakan aset strategik yang mesti dibina dan dipelihara oleh semua negara ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA-negara ASEAN seperti Indonesia, Malaysia, Thailand serta Filipina merupakan contoh negara diduduki masyarakat majmuk yang sering berdepan isu ketegangan etnik, peminggiran sosial dan ketidaksamarataan ekonomi.

Oleh itu, usaha membina masyarakat yang berdaya tahan amat penting agar rantau ini tidak mudah goyah akibat konflik dalaman atau tekanan luar. Hormat-menghormati dan mempercayai sesama masyarakat dalam negara mahupun luar negara mesti menjadi asas penting membangun negara.

Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kekuatan ketahanan sosial negara-negara ASEAN, antaranya penerapan pendidikan dan kesedaran awam dalam masyarakat. Kedua, keadilan sosial dan pengagihan ekonomi. Ketiga, pemerkasaan institusi sosial dan masyarakat sivil selain peranan institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil dalam membina rangkaian sosial serta memberi bantuan kepada golongan terpinggir tidak boleh dipandang remeh.

Justeru bagi memperkukuh ketahanan sosial di rantau ini, negara-negara ASEAN boleh melaksanakan beberapa strategi utama, antaranya Penggubalan Polisi Sosial Serantau melalui badan seperti Komuniti Sosial Budaya ASEAN (ASCC). Negara anggota boleh menggubal dasar bersama yang menyokong inklusiviti sosial, melindungi minoriti dan memperkasa belia serta wanita. Contohnya, pelaksanaan rangka kerja Pelindungan Sosial ASEAN.

Kedua program pertukaran budaya dan pendidikan dengan memperluas pertukaran pelajar, sukarelawan dan kegiatan kebudayaan antara negara ASEAN dapat meningkatkan persefahaman serta mengurangkan prasangka masyarakat berlainan negara mahupun budaya.
Ketiga, pelaburan dalam kesihatan mental dan komuniti masyarakat yang sihat secara fizikal serta mental lebih berdaya tahan menghadapi tekanan.

Negara ASEAN perlu meningkatkan perkhidmatan kesihatan mental yang mudah diakses serta memperkasa pusat komuniti di kawasan bandar dan luar bandar.

Keempat, pembangunan ekonomi inklusif memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi luar bandar, pembasmian kemiskinan bandar dan peluang pekerjaan kepada golongan rentan, Ini dapat mengurangkan rasa terpinggir dan meningkatkan solidariti sosial.
Kelima penglibatan belia dalam dialog sosial. Golongan muda perlu dilibatkan secara aktif dalam wacana sosial dan pembangunan dasar.

Disinilah peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia, selaku Pengerusi Asean 2025 dalam memperkukuh kestabilan sosial masyarakat rantau ini.

Dengan keupayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pengalaman beliau dalam NGO dapat membentuk sebuah ketahanan sosial yang kukuh selain dapat membangunkan ekonomi serantau terutama mendepani dunia global yang tidak menentu. Ketahanan sosial merupakan aset strategik yang mesti dibina dan dipelihara oleh semua negara ASEAN.

Dalam dunia semakin kompleks dan terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman, kekuatan sosial bukan sahaja menjadi benteng pertahanan dalaman, malah menjadi pemangkin kepada kerjasama serantau yang berkesan.

Melalui pendidikan, dasar yang adil, pengukuhan komuniti dan jaringan serantau yang kukuh, negara-negara ASEAN dapat memperkukuh struktur sosial masing-masing sekali gus memperteguh ASEAN sebagai satu entiti yang stabil, inklusif dan berdaya saing di peringkat global.
Oleh itu, agenda meningkatkan ketahanan sosial wajar diberi keutamaan dalam pelan pembangunan jangka panjang ASEAN.-UTUSAN

HASRI HARUN
Universiti Selangor (Unisel)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN