DALAM semangat membina ekosistem pendidikan yang benar-benar mesra orang kurang upaya (OKU), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin mencadangkan beberapa penambahbaikan berikut:
(i) Penyebaran maklumat bantuan khusus untuk OKU secara lebih meluas di institusi pendidikan menengah dan komuniti setempat, agar tiada pelajar OKU yang tercicir akibat kekurangan maklumat;(ii) Pemantapan kemudahan fizikal dan persekitaran universiti yang mesra OKU selaras dengan peningkatan jumlah pelajar OKU di institusi pengajian tinggi;
(iii) Penyediaan program sokongan akademik dan psikososialseperti mentor OKU, kaunselor terlatih dan kursus kemahiran kendiri bagi membantu pelajar OKU menyesuaikan diri di kampus;
(iv) Pemerkasaan penyertaan OKU dalam program TVET dengan menyediakan laluan khas dan modul bersesuaian mengikut keupayaan individu OKU; dan
(v) Pemantauan pelaksanaan dasar di peringkat IPT agar ia benar-benar memberi manfaat kepada pelajar OKU, merangkumi kemudahan, perkhidmatan sokongan akademik dan kebajikan.
Libat urus berterusan bersama komuniti OKU — GPMS menyarankan agar KPT terus melibatkan organisasi pelajar seperti GPMS serta pertubuhan bukan kerajaan atau pertubuhan masyarakat sivil dalam proses perbincangan dan penetapan dasar bagi memastikan suara serta keperluan sebenar pelajar OKU diambil kira. Ini kerana setiap kumpulan pelajar OKU mempunyai keperluan berbeza yang menuntut pendekatan yang unik antara satu sama lain.
GPMS melalui Biro Pendidikan OKU akan terus menyokong inisiatif KPT dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi untuk semua. GPMS juga menyeru supaya masyarakat sama-sama menyambut baik usaha KPT ini supaya golongan pelajar OKU tidak terabai dan yang paling penting masyarakat massa maklum dan menyedari keperluan berbeza yang diperlukan oleh pelajar OKU. GPMS kekal komited menjadi suara pelajar OKU dalam memastikan kebajikan dan hak pendidikan mereka sentiasa terpelihara. – UTUSAN
SHARIZ SELLEHUDDIN
Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)










