Pastikan rakyat nikmati manfaat

Pastikan rakyat nikmati manfaat

DALAM konteks ASEAN, kejayaan sebenar hanya dapat dicapai apabila setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat pembangunan ekonomi secara adil dan saksama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANGKA-ANGKA ekonomi merupakan indikator atau petunjuk prestasi sesebuah negara. Petunjuk yang sering diguna pakai adalah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merangkumi perbelanjaan pengguna, pelaburan, perbelanjaan kerajaan, nilai eksport dan nilai import.

Dalam konteks ASEAN yang terdiri daripada 10 negara di Asia Tenggara, KDNK pada suku tahun pertama (April) 2025 diunjurkan pada 4.1 peratus dengan kadar inflasi sekitar 2.5 peratus. Walaupun unjuran ini memberangsangkan, hakikatnya tetap wujud impak atau cabaran dengan populasi penduduk sekitar 693 juta orang.

Antara impak positif yang boleh diketengahkan ialah KDNK yang meningkat dapat merangsang pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan asing langsung dan mewujudkan peluang pekerjaan.

Seterusnya, ia dapat meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya meningkatkan kuasa beli di negara ASEAN. Walau bagaimanapun, tidak semua dapat merasai manfaat yang sama hasil daripada peningkatan KDNK. Ini disebabkan jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar.

Contohnya di Malaysia, kawasan tumpuan limpahan ekonomi dirasai di sekitar Lembah Klang berbanding di kawasan lain. Begitu juga, Indonesia dan Vietnam mencatat pertumbuhan ekonomi tinggi, tetapi golongan B40 (bawah 40 peratus) masih berjuang dengan kos sara hidup yang tinggi.

Selain daripada itu, impak isu sosial ekonomi juga perlu diberi perhatian. Dalam hal ini, isu migrasi rakyat bekerja di luar negara berlaku kerana peluang pekerjaan di negara sendiri terhad. Sebaliknya, pekerjaan yang tidak formal meningkat yang tidak memberi jaminan sosial dan faedah jelas kepada rakyat. Begitu juga, wujudnya ketidakseimbangan isu gender serta akses pendidikan dan penjagaan kesihatan. Antara contoh yang boleh dilihat di Malaysia ialah kadar inflasi terkawal iaitu 1.5 peratus, tetapi harga makanan dan perumahan terus meningkat sehingga mengakibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana menanggung beban kenaikan kos sara hidup.

Saranan yang boleh ASEAN laksanakan adalah seperti berikut:
– ASEAN perlu ada dasar yang menekankan agihan kekayaan, bukan sekadar pertumbuhan angka. ASEAN juga harus memperkukuhkan kerjasama dalam pendidikan, latihan semula tenaga kerja dan perlindungan sosial bagi melindungi rakyat dalam semua peringkat ekonomi.

– ASEAN perlu memastikan setiap pembangunan negara anggota memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat ASEAN. Malahan, kekayaan sumber alam hendaklah kekal terjamin dan mampu dinikmati generasi akan datang.

– Dalam memastikan pertumbuhan ekonomi mapan, negara ASEAN hendaklah mengimbangi pertumbuhan tersebut dengan keadilan sosial sesama masyarakat tanpa mengabaikan alam sekitar. Justeru, ASEAN harus memfokuskan usaha untuk merapatkan jurang pembangunan bukan sahaja di dalam negara anggota tetapi juga intra-ASEAN. Golongan masyarakat yang terpinggir perlu diberi perhatian dan sokongan agar turut menikmati manfaat pembangunan yang saksama. Seterusnya, industri Perusahaan Kecil dan Sederhana disokong bagi menjamin kelangsungan pertumbuhan ekonomi ASEAN.

-ASEAN menyerapkan kelestarian melalui tiga tonggak utama iaitu politik keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya. Ketiga-tiga tonggak ini saling melengkapi dan menjadi asas penting dalam membina sebuah rantau yang aman, stabil dan sejahtera. Justeru, konsep ini wajar diteruskan dan diperkukuhkan agar ASEAN bukan sahaja dapat menangani cabaran serantau secara kolektif, malah mampu membina sebuah komuniti yang hebat, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat di seluruh rantau Asia Tenggara.

Kesimpulannya, pertumbuhan ekonomi sememangnya penting bagi sesebuah negara, namun ia tidak semestinya mencerminkan realiti kehidupan rakyat secara menyeluruh.

Dalam konteks ASEAN, kejayaan sebenar hanya dapat dicapai apabila setiap lapisan masyarakat menikmati manfaat pembangunan ekonomi secara adil dan saksama. Justeru, saranan yang dikemukakan adalah selaras dan bertepatan dengan matlamat Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang dijangka berlangsung pada 26 hingga 27 Mei ini.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MASTURAH MA’IN
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN