Literasi digital mampu membangunkan ekonomi diri

Literasi digital mampu membangunkan ekonomi diri

LITERASI digital membantu mahasiswa yang berminat dalam dunia perniagaan memahami trend pasaran dan permintaan pengguna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM era globalisasi dan revolusi digital, literasi digital menjadi salah satu kemahiran utama yang perlu dimiliki oleh mahasiswa. 

Literasi digital bukan sekadar kebolehan menggunakan teknologi tetapi turut merangkumi keupayaan mencari, menganalisis dan menilai maklumat digital dengan efektif. 

Dalam konteks keusahawanan dalam talian, literasi digital memainkan peranan penting dalam membangunkan ekonomi diri mahasiswa melalui peluang perniagaan yang lebih luas dan inovatif.

Melalui kemahiran ini, mereka dapat memanfaatkan teknologi seperti media sosial, platform e-dagang dan analitik data untuk memasarkan produk atau perkhidmatan mereka kepada khalayak yang lebih luas. Sebagai contoh, platform seperti Shopee, Lazada, dan Instagram menjadi medium utama bagi mahasiswa untuk menjual produk tanpa perlu membuka kedai fizikal. Hal ini bukan sahaja menjimatkan kos operasi tetapi juga membolehkan mereka beroperasi secara fleksibel dari mana-mana lokasi.

Selain itu, literasi digital membantu mahasiswa memahami trend pasaran dan permintaan pengguna. Dengan kebolehan menganalisis data digital, mereka boleh mengenal pasti produk atau perkhidmatan yang berpotensi tinggi serta strategi pemasaran yang lebih efektif. 

Kemahiran literasi digital juga membolehkan mahasiswa menguruskan perniagaan secara lebih cekap. Mereka dapat menggunakan aplikasi pengurusan kewangan atau inventori untuk memastikan kelangsungan operasi perniagaan. Dengan ini, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan keuntungan tetapi juga mengembangkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi.

Walaupun manfaat literasi digital sangat besar, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi. Antaranya adalah kesenjangan akses kepada teknologi dan internet, terutamanya bagi mahasiswa dari latar belakang ekonomi kurang mampu. Tanpa akses kepada peranti moden atau sambungan internet yang stabil, usaha untuk meningkatkan literasi digital menjadi terbatas.

Selain itu, kurangnya kesedaran tentang kepentingan literasi digital juga menjadi penghalang utama. Ramai mahasiswa masih melihat kemahiran ini sebagai tambahan dan bukannya keperluan asas dalam dunia keusahawanan moden. Oleh itu, institusi pengajian tinggi (IPT) perlu memainkan peranan dengan menyediakan kursus atau latihan khusus untuk meningkatkan literasi digital dalam kalangan pelajar.

Bagi memastikan mahasiswa dapat memanfaatkan potensi literasi digital sepenuhnya dalam bidang keusahawanan dalam talian, beberapa langkah strategik yang menyeluruh perlu diambil bagi membentuk ekosistem pembelajaran dan sokongan yang kondusif. 

Pertama, pendidikan formal perlu diberi penekanan oleh IPT dengan mengintegrasikan modul literasi digital secara sistematik dalam kurikulum. Modul ini harus merangkumi kursus seperti pemasaran digital, analitik data dan pengurusan e-dagang yang bukan sahaja bersifat teori tetapi juga praktikal. 

Kedua, latihan praktikal perlu diperluaskan seperti bengkel keusahawanan dalam talian atau projek kolaboratif dengan syarikat e-dagang. Bengkel ini boleh dianjurkan oleh universiti dengan kerjasama pihak industri untuk memberikan mahasiswa pengalaman dunia sebenar dalam mengendalikan perniagaan digital. 

Ketiga, kerajaan dan IPT perlu memastikan akses kepada teknologi terkini serta sambungan internet yang stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

Akhir sekali, inisiatif kerajaan perlu diperhebatkan melalui program-program khusus yang menyokong penglibatan mahasiswa dalam bidang keusahawanan dalam talian. Program seperti MyDIGITAL boleh diperluaskan untuk menyediakan geran pendigitalan kepada mahasiswa yang ingin memulakan perniagaan dalam talian mereka sendiri. 

Geran ini boleh digunakan untuk membeli peralatan teknologi seperti kamera atau komputer riba, melanggan perkhidmatan pemasaran digital, atau membangunkan laman web e-dagang mereka sendiri. 

Selain itu, kerajaan juga boleh menawarkan kursus latihan percuma atau bersubsidi dalam bidang-bidang seperti reka bentuk laman web, strategi pemasaran digital dan pengurusan kewangan perniagaan kecil. Langkah-langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan halangan kewangan tetapi juga memberikan motivasi kepada mahasiswa untuk menceburi bidang keusahawanan dalam talian secara lebih serius.-UTUSAN

 

NURUL NISHA MOHD. SHAH  & ALIF DANISH AHZA AHMAD AZAHARI

Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, 

Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Rembau

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN