SEPANJANG tempoh enam tahun mengemudi kerajaan, Tun Abdullah Ahmad Badawi antara lain menggariskan lima teras di bawah pentadbirannya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional (PIN), Pembangunan Koridor Ekonomi, Pembangunan Modal Insan serta ideologi yang paling sinonim dengan peribadinya iaitu konsep Islam Hadhari.
Abdullah menjenamakan semula Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang ditubuhkan pada 1997 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2008 bagi memberi kuasa yang lebih luas dan jitu kepada badan itu.
Tidak cukup dengan itu, beliau menyedari membanteras rasuah bukan sekadar dengan penguatkuasaan undang-undang semata-mata, maka Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan dengan menumpukan pendekatan advokasi dan pendidikan. Ini sekali gus mengukuhkan integriti dan tatakelola sektor awam dan swasta.
Meskipun usaha murni itu mendapat kritikan dan kekangan, kemudiannya seperti kehilangan momentum akibat dari sikap kurang selesa sesetengah pihak yang berkepentingan namun Abdullah kekal konsisten dalam memperjuangkan nilai integriti. Beliau percaya transformasi budaya dan pemikiran tidak boleh dicapai dalam masa yang singkat.
Pelancaran PIN pada 23 April 2004 adalah manifestasi jelas kepada iltizam bekas perdana menteri kelima itu untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara beretika dan berwibawa. PIN kini mengalami beberapa penambahbaikan dan diteruskan dalam bentuk pelan tindakan yang lebih terarah, seperti Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang dilancarkan pada Januari 2019.
Lebih penting lagi, agenda integriti dipelopori Abdullah berjaya memperkukuh kesedaran awam mengenai betapa pentingnya tadbir urus yang baik. Bahkan rakyat kini lebih peka terhadap isu berkait rasuah, ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.
Dilahirkan dalam keluarga cendekiawan Islam maka tidak hairanlah Abdullah dengan mudah dapat menyemai pendekatan konsep Islam Hadhari dalam kepimpinannya. Islam Hadhari yang menjadi slogan rasmi pemerintahannya adalah sebuah kerangka pemikiran Islam yang moden, progresif dan inklusif.
Islam Hadhari bukan sekadar slogan politik bahkan ia kerangka pemikiran yang menekankan kesepaduan antara kemajuan material dan kekuatan nilai spiritual. Dengan kata lain, Islam Hadhari membuka jalan kepada pemahaman Islam yang progresif dan inklusif dalam masyarakat majmuk.
Manakala dalam sistem pendidikan negara, Abdullah turut mengangkat pendidikan Islam ke arus perdana dengan memperkenalkan program J-QAF (Jawi, al-Quran, Arab dan Fardu Ain). Diperkenalkan pada 2004, program ini membuka lembaran baharu kepada pendidikan Islam di sekolah kebangsaan.
Program tersebut menekankan penguasaan tulisan jawi, hafazan dan pemahaman al-Quran, pengukuhan bahasa Arab serta penghayatan fardu ain dalam kehidupan seharian. J-QAF secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pendidikan Islam di sekolah rendah secara sistematik dan berstruktur.
Abdullah juga berjaya mengubah pendekatan dasar luar Malaysia daripada bernada keras kepada diplomasi yang lebih rasional dan praktikal, yang membantu memperbaiki hubungan Malaysia dengan Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Australia.
Abdullah akan terus dikenang sebagai pemimpin berfikiran matang yang menekankan kesederhanaan, integriti dan gaya pemerintahan yang penuh berperikemanusiaan. Legasinya adalah merupakan gabungan antara cita-cita reformasi dan inisiatif ekonomi yang dinamik. Biarkan sejarah menilai sumbangan besarnya kepada negara.-UTUSAN
MOHD SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










