Jasa Pak Lah kepada penduduk bumi tin

Jasa Pak Lah kepada penduduk bumi tin

ABDULLAH Abdullah Ahmad Badawi diberi penghormatan Istiadat Pengebumian Negara selepas menghembuskan nafas pada 14 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUN Abdullah Ahmad Badawi seorang pemimpin yang cukup dihormati dan berjiwa rakyat. Beliau bukan sahaja seorang pemimpin sebuah negara tetapi merupakan pemimpin hebat yang peduli tentang umat Islam.

Abdullah atau Pak Lah ketika menjawat jawatan Perdana Menteri kelima, dikenali melalui konsep pentadbiran Islam Hadhari. Beliau memainkan peranan penting dalam mengangkat suara saudara Islam di Malaysia dan pembela tegar nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejamanan Israel.

Pak Lah tetap menjadikan Malaysia sebuah negara yang kekal tidak mengiktiraf Israel. Beliau secara terbuka menolak juga mengecam segala bentuk penindasan terhadap rakyat Palestin. Pada masa sama, mengekalkan dasar luar yang lantang menyokong perjuangan Palestin untuk mengembalikan kedaulatan dan kemerdekaan.

Dalam pelbagai persidangan antarabangsa yang dihadiri oleh pelbagai negara, misalnya Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC ) di Putrajaya (2003), beliau dengan beraninya menyeru komuniti global menghentikan kekejaman Israel di Tebing Barat dan Gaza. Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin. Pak Lah menggunakan platform yang cukup berpengaruh untuk mengutuk dasar apartheid Israel dan menyokong hak rakyat Palestin.

Beliau sering mengingatkan Palestin bukan sahaja soal agama, politik atau wilayah tetapi menjadi isu kemanusiaan sejagat.

Pak Lah turut menyeru negara-negara Islam bersatu dalam menyokong hak Palestin, termasuk menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara. Beliau sememangnya memperjuangkan pendekatan dialog dan penyelesaian damai, tetapi menegaskan keamanan sejati tidak akan tercapai selagi kezaliman serta kekejaman terhadap rakyat di bumi Tin terus dibiarkan.

Malaysia juga merupakan antara negara yang cukup prihatin soal pendidikan rakyat Palestin. Pak Lah memberi peluang kepada 200 orang pelajar dari Palestin untuk melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang kritikal seperti perubatan dan kejuruteraan.

Pak Lah juga mengukuhkan hubungan dengan kerajaan Palestin. Beliau mengadakan pertemuan rasmi bersama Presiden Mahmoud Abbas di Putrajaya pada 2006. Malaysia juga secara konsisten menolak sebarang hubungan diplomatik dengan Israel, selari dengan prinsip ‘tiada pengiktirafan, tiada hubungan’ yang dipegang teguh sejak era Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bukan itu sahaja, Malaysia turut menyalurkan usaha bantuan kemanusiaan melalui pelbagai agensi, termasuk kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan. Beliau turut menyokong penghantaran bantuan makanan, perubatan, serta usaha pendidikan dan perlindungan kanak-kanak Palestin yang terjejas akibat konflik.

Pak Lah berjaya menjadikan Malaysia sebagai antara suara paling vokal dan konsisten dalam menyuarakan penindasan terhadap Palestin menjadikan negara Malaysia rujukan bagi dunia Islam yang lain.

Pak Lah sememangnya pemimpin yang berjiwa sederhana dan dekat dengan agama. Hal ini membolehkan legasi beliau dalam memperjuangkan hak Palestin tidak harus dilupakan. Keberanian dan prinsip beliau wajar menjadi inspirasi kepada generasi pemimpin masa hadapan terutamanya dalam dunia yang semakin dingin terhadap penderitaan rakyat Palestin.-UTUSAN

NURUL FATINI MUHAMMAD
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN