PERPADUAN sering diuji oleh kewujudan segelintir individu yang bertindak sebagai batu api yang menyemarakkan perpecahan dengan menyebarkan fitnah, mencetuskan provokasi dan membakar sentimen perkauman serta keagamaan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Batu api dalam masyarakat moden bukan sekadar hadir secara fizikal, malah wujud dalam bentuk maya di media sosial, ruang perbualan dalam talian serta saluran komunikasi massa yang lain. Mereka menyebarkan maklumat yang tidak sahih, menokok tambah cerita dan menimbulkan kebencian terhadap kumpulan tertentu.
Tindakan seperti ini mampu mencetuskan kegelisahan dalam kalangan rakyat, meretakkan hubungan antara kaum dan agama serta menggugat keharmonian yang telah sekian lama dibina. Lebih malang, jika tindakan mereka tidak dikawal, ia boleh mengundang konflik yang sukar dibendung.
Oleh itu, masyarakat perlu bijak membezakan antara kebenaran dan kebatilan, serta menolak sebarang bentuk hasutan yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara.
Kerajaan dan pihak berkuasa memainkan peranan mereka dalam menangani isu ini melalui penguatkuasaan undang-undang seperti Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia serta pelbagai kempen kesedaran namun, usaha ini tidak akan berjaya jika rakyat sendiri tidak memainkan peranan sebagai ejen perpaduan. Setiap individu perlu bertanggungjawab dalam menyemai sikap saling menghormati, memahami perbezaan dan memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk sikap dan pemikiran rakyat. Di peringkat sekolah, murid-murid perlu didedahkan dengan kepelbagaian budaya dan nilai perpaduan sejak kecil lagi. Guru harus mendidik pelajar agar menghormati dan menghargai perbezaan sebagai kekuatan, bukan kelemahan. Malah, silibus pendidikan wajar memuatkan unsur-unsur yang dapat menanam semangat cintakan negara dan nilai toleransi antara kaum.
Institusi keluarga juga merupakan medan awal pembentukan jati diri yang harmoni. Ibu bapa harus menjadi contoh kepada anak-anak dengan menunjukkan sikap terbuka, mengelakkan ucapan yang berbaur kebencian dan sentiasa menanamkan nilai kasih sayang dan hormat terhadap sesama insan. Jika nilai ini dapat dipupuk dari rumah, anak-anak akan membawa semangat ini ke sekolah dan seterusnya ke dalam masyarakat. Dengan itu, akan terbinalah sebuah masyarakat yang teguh perpaduannya.
Media massa juga perlu memainkan peranan yang lebih beretika dan bertanggungjawab. Dalam era ledakan maklumat, berita palsu dan tajuk sensasi sering menjadi senjata untuk mengaut keuntungan tanpa memikirkan implikasi terhadap keharmonian sosial. Oleh itu, media perlu menapis setiap maklumat yang disampaikan agar tidak mencetuskan ketegangan kaum atau agama. Penyebaran maklumat yang seimbang, adil, dan benar mampu menjadi alat penyatu, bukannya pemecah belah.
Masyarakat pula hendaklah lebih bijak dan berhati-hati ketika menerima atau menyebarkan maklumat. Jangan mudah terpedaya dengan cerita sensasi yang belum tentu kesahihannya. Sikap suka berkongsi tanpa menyemak fakta merupakan penyumbang utama kepada penyebaran hasutan dan fitnah. Sebaliknya, kita perlu mengamalkan budaya semak dan tapis, serta menegur secara bijaksana mana-mana pihak yang cuba menjadi batu api kepada keharmonian rakyat. – UTUSAN
AZIZUL ASYRAF MD HELMI
SMK Dato Sulaiman
Parit Sulong
Batu Pahat, Johor










