KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini membuka mata ramai pihak apabila angka kegagalan subjek teras seperti matematik mencatatkan angka mengejutkan, iaitu seramai 84,025 calon.
Fenomena ini menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat, khususnya tentang dasar pendidikan yang diperkenalkan beberapa tahun kebelakangan ini, termasuklah keputusan untuk menghapuskan peperiksaan besar di peringkat sekolah rendah seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Walaupun tujuan asal memansuhkan UPSR sebagai satu langkah mengurangkan tekanan akademik dan memberi lebih ruang kepada pembelajaran holistik berasaskan pembinaan sahsiah dan kemahiran insaniah, namun, keputusan SPM terkini membuktikan ketiadaan peperiksaan awal memberi kesan terhadap kekuatan akademik pelajar.
Tanpa peperiksaan besar di peringkat rendah, ramai pelajar mungkin tidak membina asas pembelajaran yang kukuh, disiplin belajar secara konsisten dan tidak cukup terdedah kepada pengurusan masa serta strategi menghadapi peperiksaan sebenar. Ini semua akhirnya membawa kepada ketidaksediaan yang ketara apabila mereka menghadapi peperiksaan besar seperti SPM.
Peperiksaan seperti UPSR berfungsi sebagai latihan penting membina kemahiran belajar jangka panjang. Ia mengajar murid bagaimana untuk menghadapi tekanan, membuat persiapan rapi dan menilai diri berdasarkan prestasi akademik.
Ketiadaan latihan seperti ini di peringkat awal menyebabkan pelajar tidak lagi berasa terdesak untuk menguasai kemahiran asas penting seperti pengiraan, penyelesaian masalah, membaca kefahaman dan penulisan analitik. Ini mungkin antara sebab mengapa keputusan subjek teras seperti matematik menjadi begitu membimbangkan.
Penilaian pelajar lebih bergantung kepada pentaksiran bilik darjah oleh guru. Ini membuka ruang kepada ketidakseragaman dalam standard penilaian. Ada sekolah yang lebih ketat, ada pula lebih longgar, bergantung kepada budaya sekolah dan kekuatan guru itu sendiri.
Akibatnya, pelajar mungkin mendapat gambaran yang tidak tepat tentang keupayaan sebenar. Apabila mereka duduk untuk peperiksaan besar di peringkat SPM, barulah kelemahan sebenar terserlah dan sukar untuk diperbaiki dalam masa singkat.
Ibu bapa pula mungkin berasa lebih tenang apabila tiada peperiksaan besar, kerana anak-anak tidak perlu menghadapi tekanan berlebihan. Namun ketenangan ini rupanya hanya bersifat sementara. Tekanan akademik yang sepatutnya dihadapi sedikit demi sedikit di peringkat rendah akhirnya terkumpul menjadi tekanan yang lebih besar dan mengejutkan di peringkat menengah. Banyak pelajar tidak tahu bagaimana untuk menguruskan tekanan akademik, tidak mempunyai teknik belajar yang berkesan, malah ada yang langsung tidak mempunyai motivasi belajar kerana tidak pernah merasa pentingnya pencapaian akademik sejak kecil.
Dalam masa sama, perubahan dunia pendidikan yang terlalu mendadak dan kurang perancangan terperinci menambahkan lagi masalah ini. Ramai guru mengadu murid-murid sekolah menengah kini lebih sukar untuk didisiplinkan dari segi kerja rumah, kehadiran ke kelas tambahan dan komitmen terhadap tugasan kerana tidak pernah dididik untuk berhadapan dengan keperluan akademik yang tinggi sejak sekolah rendah. Guru-guru akhirnya terpaksa menghabiskan lebih banyak masa untuk membina semula sikap belajar berbanding memberi tumpuan kepada pengajaran kandungan akademik.
Tanpa asas yang kuat dalam matematik, pelajar-pelajar ini akan berhadapan dengan kesukaran besar apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, ekonomi atau lain-lain yang memerlukan pemikiran logik dan analitik.
Sudah tiba masanya untuk kita melihat semula dasar pendidikan ini dengan lebih jujur. Tiada siapa yang menolak kepentingan pendidikan berasaskan sahsiah, nilai murni dan kreativiti. Namun, ia tidak boleh datang dengan mengorbankan keperluan asas akademik.
Pendidikan seimbang memerlukan pendekatan yang dapat memastikan pelajar bukan sahaja menjadi insan yang beretika dan kreatif, tetapi juga mempunyai ketahanan akademik serta kecemerlangan dalam bidang asas seperti matematik, bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan sains.
Keputusan SPM ini adalah isyarat yang perubahan perlu dilakukan. Kita perlu memperkenalkan semula latihan peperiksaan secara berperingkat, membina semula budaya belajar yang kukuh dan memastikan pentaksiran di sekolah rendah benar-benar mencerminkan tahap sebenar pencapaian pelajar.
Hanya dengan cara ini kita dapat melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam nilai kemanusiaan, tetapi juga kompetitif dalam bidang ilmu yang menjadi asas kejayaan masa hadapan negara.
MDM LYEZA
Johor










