Bermain mercun berlebihan bukan budaya Islam

Bermain mercun berlebihan bukan budaya Islam

AKTIVITI pembakaran dan permainan mercun tanpa mengira masa sesuai sehingga menjejaskan kualiti hidup sebahagian masyarakat bertentangan dengan ajaran Islam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMAINAN mercun terus menjadi sebahagian daripada tradisi sambutan perayaan dan ‘warisan’ turun-temurun. Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini kegilaan terhadap aktiviti tersebut semakin ketara tidak kira sama ada di bandar mahupun di kampung.

Situasi ini mencetuskan tanda tanya apakah masyarakat moden hari ini sudah hilang sensitiviti dan rasa hormat sesama jiran tetangga? Sememangnya amat mendukacitakan apabila sejak bermula penghujung Ramadan sehinggalah berakhir Aidilfitri pada April lalu, masih dicemari dentuman mercun yang menggila dan seakan tidak terkawal.

Aktiviti pembakaran dan permainan mercun tahun ini agak luar biasa tanpa mengira masa yang sesuai sehingga menjejaskan kualiti hidup sebahagian masyarakat yang sukakan ketenangan di waktu malam setelah sibuk bekerja di siang hari.

Ini seakan membawa makna sesetengah masyarakat kini sudah tiada lagi perasaan timbang rasa dan mengabaikan sikap toleransi terhadap mereka yang berisiko seperti warga emas, bayi, pesakit malah haiwan peliharaan.

Malah pembakaran mercun sebenarnya tidak diperlukan dalam perayaan Islam kerana ia bukan sebahagian kepercayaan dan budaya malah bertentangan sekali dengan ajaran masyarakat itu.

Seperkara yang harus diingat, keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2023 yang memansuhkan larangan penjualan mercun pada 1991, dikuatkuasakan di bawah Akta Bahan Letupan 1957 bertujuan mengurangkan penjualan mercun secara haram dan meningkatkan pendapatan negara melalui duti import. Namun pada masa sama, penjualan mercun dan bunga api tetap tertakluk kepada garis panduan keselamatan dan permit yang dikeluarkan polis.

Yang dikesalkan ialah sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran diberikan kerajaan untuk berhibur secara berlebih-lebihan dan melampau sehingga menimbulkan gangguan serta mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.

Undang-undang menetapkan bermain bunga api selepas pukul 12 malam sehingga mengganggu ketenteraman atau membahayakan orang lain adalah kesalahan yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336). Boleh dikatakan undang-undang ini dipatuhi dengan baik.

Namun ia perlu ditambah baik dengan tumpuan dan perhatian khusus kepada umat Islam seperti mengharamkan pembakaran dan permainan mercun apabila memasuki minggu kedua Syawal kecuali dimainkan dalam persekitaran lapang dan terhad tanpa mengganggu kawasan kejiranan.

Cadangan ini agak tidak praktikal dan pastinya mendapat tentangan banyak pihak namun umat Islam harus sedar bahawa bermain mercun dan bunga api sehingga mengganggu ketenteraman awam ditegah dalam Islam.

Walaupun pihak berwajib menjalankan pelbagai kempen kesedaran mengenai bahaya mercun, terutama dalam kalangan pelajar sekolah dan ibu bapa namun inisiatif seperti ini tidak mencapai sasaran jika masyarakat sendiri bersikap tidak ambil peduli mengenainya.

Hakikatnya pelajar mudah mengikut nasihat yang diberikan namun bagaimana pula dengan orang dewasa termasuk ibu bapa sendiri yang bertindak lebih sudu dari kuah dalam kegiatan ini?-UTUSAN

MOHD. SALLEH OSMAN
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×