Banyak kajian bukti vape bahaya

Banyak kajian bukti vape bahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABANG Rock, seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berusia 44 tahun meninggalkan kata-kata terakhir mengingatkan penghisap vape agar tidak mengambil mudah tentang nasihat doktor mengenai bahaya peranti itu, sebelum meninggal dunia.

Sebelum ini di laman TikTok tular video memaparkan Abang Rock sedang terlantar di wad hospital selepas diserang sesak nafas akibat penggunaan vape.

Kebelakangan ini, penggunaan vape atau rokok elektronik menjadi fenomena yang semakin berkembang, terutamanya dalam kalangan remaja dan golongan dewasa muda. Vape sering dianggap sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok tradisional kerana tidak menghasilkan asap tembakau. Namun begitu, anggapan ini amat bahaya dan tidak disokong oleh bukti saintifik yang kukuh. Hakikatnya, vape membawa pelbagai risiko kesihatan serius malah boleh menyebabkan kematian.

Terdapat bukti kukuh menunjukkan vape boleh menyebabkan kerosakan serius kepada sistem pernafasan. Antara kesan kesihatan yang dikenal pasti termasuklah keradangan paru-paru seperti bronchiolitis obliterans, juga dikenali sebagai popcorn lung yang berpunca daripada bahan kimia diacetyl dalam cecair vape. Selain itu, penggunaan vape boleh mengakibatkan batuk kronik, kahak berlebihan, sesak nafas serta pneumonitis kimia dikenali sebagai keradangan paru-paru akibat wap bahan kimia. Dalam kes yang lebih parah, pengguna boleh mengalami kerosakan paru-paru akut atau dikenali sebagai kecederaan paru-paru berkaitan rokok elektronik atau vape (Evali) yang boleh membawa maut.

Di samping itu, kebanyakan produk vape mengandungi nikotin dalam kadar yang tinggi dan mengakibatkan ketagihan. Dalam kalangan remaja, penggunaan nikotin sangat membimbangkan kerana ia boleh mengganggu perkembangan otak yang sedang pesat berkembang.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), remaja yang mula menggunakan vape lebih berisiko untuk menjadi perokok berasaskan tembakau dalam jangka masa panjang. Nikotin juga dikaitkan dengan kesan negatif terhadap tahap peringatan, tumpuan dan kawalan emosi selain meningkatkan risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kebimbangan.

Malaysia kini sedang berusaha menggubal undang-undang yang lebih ketat untuk mengawal penjualan dan penggunaan produk vape. Pada 2023, Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam dibentangkan di Parlimen antara lain mencadangkan larangan penjualan produk vape kepada individu bawah 18 tahun serta kawalan ke atas kandungan nikotin. Walau bagaimanapun, penguatkuasaan undang-undang masih menjadi cabaran kerana banyak produk vape dijual secara dalam talian, di pasar malam dan kedai tanpa lesen. Tindakan bersepadu antara Kementerian Kesihatan, pihak penguat kuasa dan komuniti amat diperlukan bagi memastikan undang-undang ini berkesan.

Dalam menghadapi ancaman ini, langkah paling utama ialah pendidikan dan kesedaran awam. Ibu bapa, guru dan pihak berkuasa kesihatan perlulah bekerjasama untuk mendidik remaja mengenai bahaya sebenar vape. Pendekatan yang berkesan termasuklah pendedahan maklumat saintifik, penyampaian kisah benar bekas pengguna dan pelaksanaan program intervensi di sekolah.

Kajian Universiti Malaya (2022) membuktikan pelajar yang terdedah kepada pendidikan berkaitan kesan buruk vape menunjukkan kecenderungan lebih rendah untuk mencubanya.

Media sosial juga boleh dimanfaatkan sebagai saluran utama untuk menyampaikan mesej kesedaran dengan cara yang menarik dan mudah difahami oleh generasi muda.-UTUSAN

AZMAWATY MOHAMAD NOR & SEBASTIAN KANANG ABRAHAM
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN