DALAM dunia pendidikan hari ini, di saat negara menekankan agenda kesejahteraan murid dan pendekatan holistik, didakwa masih wujud kelompok pelajar yang terperangkap dalam sistem pendidikan membebankan terutamanya di sesetengah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Realiti semasa menunjukkan bukan sekadar kerja rumah yang menimbun sehingga anak-anak kecil terpaksa berjaga malam dan hilang waktu riadah, malah ada sekolah yang menjadualkan aktiviti hampir setiap hari sehingga ke lewat petang. Murid tahun 1 hingga tahun 6 terlibat dalam kelas tambahan, program pengayaan, kokurikulum, latihan persembahan dan pelbagai aktiviti lain tanpa rehat mencukupi. Keadaan ini memberi tekanan berganda bukan sahaja kepada tubuh fizikal pelajar tetapi juga emosi dan mental mereka.
Aduan ibu bapa tentang kesan tekanan ini semakin meningkat. Namun, apabila pemantauan dilakukan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), hasil laporan sering kali tidak menggambarkan situasi sebenar. Laporan dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga — ringkas, tidak menyeluruh dan bersifat menjaga hati pihak sekolah.
Pemantauan yang dilaporkan seolah-olah hanya berdasarkan temu bual terpilih dan dokumen ‘indah’ yang disediakan lebih awal, bukannya pemerhatian realiti kehidupan murid di dalam dan luar bilik darjah.
PPD perlu keluar daripada kepompong ‘pemantauan bermusim’ atau lawatan berprotokol. Tidak perlu sambutan karpet merah, tidak perlu persembahan istimewa, tidak perlu makan tengah hari di bilik tetamu kehormat (VIP). Datanglah sebagai penjaga amanah pendidikan untuk melihat, menilai dan membetulkan yang pincang. Lawatan mengejut, interaksi bebas dengan pelajar dan ibu bapa serta penilaian terhadap jadual harian murid perlu dijadikan amalan tetap.
PPD sebagai agensi pelaksana dasar mesti bertindak berani dan telus. Laporan pemantauan perlu mengandungi data sebenar bukan hanya laporan indah hasil perbincangan meja bulat dengan pentadbir sekolah. Anak-anak kita bukan alat untuk mempertahankan imej mana-mana sekolah. Mereka manusia, yang berhak menikmati pendidikan seimbang, waktu rehat, masa bersama keluarga dan ruang untuk membesar secara sihat.
Sekiranya amalan membebankan ini tidak dikawal, kita bakal melihat generasi pelajar yang letih, tertekan, dan hilang minat untuk belajar. Mereka mungkin berjaya di atas kertas, tetapi kosong jiwanya.-UTUSAN
IBU PELAJAR
Johor










