CADANGAN pengambilan guru baharu dua kali setahun yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan bermula tahun ini adalah tindakan yang terbaik bagi mengatasi kekurangan guru.
Ia sebagaimana kata-kata Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan seperti tersiar di muka depan, Utusan Malaysia, pada 22 Februari lalu, antara lain menyebut pengambilan guru dilaksanakan menggunakan kluster mata pelajaran bagi membolehkan lebih ramai calon yang mempunyai kelayakan dan kemahiran dilantik selain ia diperluaskan kepada graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta dan universiti luar negara.
Sejak kebelakangan ini, ramai guru yang memohon bersara pilihan atas faktor peribadi, antaranya atas sebab kesihatan yang tidak mengizinkan. Mungkin juga guru berusia tidak mampu mengikuti perkembangan teknologi baharu yang begitu pantas.
Sewajarnya Kementerian Pendidikan melayan dan meluluskan permohonan persaraan pilihan mereka dengan senang hati. Usahlah disekat hasrat mereka. Biarkan golongan ini mengisi baki usia dengan citarasa mereka pula. Mungkin ada yang ingin melancong bersama keluarga dengan wang persaraan.
Dengan pengambilan guru dua kali setahun sudah tentu dapat menggantikan kekosongan yang ditinggalkan oleh guru bersara pilihan mahupun bersara wajib. Cumanya kementerian perlu membuat unjuran yang tepat keperluan opsyen di sekolah. Jangan lagi guru dihantar ke sekolah yang tidak menepati opsyen kekosongan. Contohnya, guru opsyen bahasa Melayu terpaksa mengajar Pendidikan Muzik. Bayangkan apa yang terjadi di dalam kelas?
Guru baharu yang akan dilantik wajar ditempatkan di luar bandar dan pedalaman menggantikan guru -guru yang telah lama di kawasan tersebut. Ini bagi membolehkan permohonan guru-guru sedia ada untuk bertukar balik ke negeri asal dapat diluluskan dengan segera serta digantikan dengan guru-guru baharu.
Semoga tindakan pengambilan guru dua kali setahun ini dapat mengatasi masalah yang sekian lama berlarutan.-UTUSAN
XGB
Pahang










