Pupuk budaya pemanduan berhemah

Pupuk budaya pemanduan berhemah

MASYARAKAT mesti mengamalkan cara pemanduan defensif dan bertimbang rasa serta bertolak ansur semasa di jalan raya kerana ia mampu menghindari kemalangan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADAR kemalangan jalan raya yang meningkat setiap kali musim perayaan. Sebanyak 14,394 kemalangan jalan raya dicatatkan dalam Ops Khas Hari Raya Aidilfitri pada tahun lalu dengan 134 kematian. 

Kadar kemalangan jalan raya di Malaysia adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara. Sebanyak 600,000 kes kemalangan jalan raya dan sebanyak 6,080 orang kematian dicatatkan pada 2023.

Umumnya, kemalangan yang berlaku berpunca daripada sikap dan cara pemanduan yang salah dan mengikut emosi. Ramai yang hendak tunjuk handal di jalan raya dan faktor kesihatan mental dan ego juga mempengaruhi cara pemanduan.

Kejadian pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut semakin menjadi-jadi.  Anehnya, di negara Barat, hal ini tidak pula berlaku.  Orang ramai takut hukuman yang sangat berat seperti penjara dan digantung lesen memandu untuk tempoh yang lama jika didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk. Pemandu warga emas yang tidak lagi kompeten untuk memandu juga perlu mendapat pengesahan pihak berwajib sebelum diberi lesen memandu.

Satu lagi perkara yang sangat meresahkan orang ramai adalah kemalangan maut yang melibatkan kenderaan berat dan pengangkutan awam. Lori dan bas ekspress yang membawa begitu ramai penumpang dipandu begitu laju jauh melebihi had yang dibenarkan. Mereka adalah ‘raja’ di jalan raya. Apa sudah jadi dengan negara kita? 

Kurikulum sekolah memandu telah dinaik taraf pada 2007, diikuti dengan penambahbaikan modul pada 2015. Namun, mesti diakui sehingga kini kita masih tidak mempunyai budaya memandu secara berhemah dan selamat. Cara pemanduan orang berumur 50 tahun ke atas sama sahaja dengan pemandu yang baru mendapat P.  Jadi apa keberkesanan kurikulum baharu yang dipinda dulu? 

Ada dua  perkara utama yang dipesan kepada pelajar semasa belajar memandu di United Kingdom (UK) iaitu jadi pemandu yang bertimbang rasa dan memandu secara defensif.  Perkara ini diamalkan dan ia menjadi budaya memandu di sana. 

Di negara kita, ramai sahaja tanpa rasa bersalah pandu perlahan di lorong tengah walaupun lorong kiri kosong.  Mereka inilah punca kesesakan lalu lintas atau kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku. Sudah tiba masanya pemandu sebegini juga perlu diberi amaran atau disaman.

Kepatuhan dan timbang rasa perlu terutama dalam perkara-perkara asas seperti patuh pada isyarat lampu isyarat, memberikan laluan kepada pejalan kaki atau kenderaan yang ingin keluar dari parkir. Tolak ansur sebegini mampu mengurangkan stres di jalan raya.  

Formula untuk mewujudkan budaya pemanduan berhemah akan menjadi kenyataan dengan pendidikan, penguatkuasaan dan perubahan sikap masyarakat.  Undang-undang dan peraturan jalan raya mesti dilaksanakan dengan tegas tanpa mengira status, pangkat dan kewarganegaraan pemandu. 

Ia mesti dilaksanakan denga penuh integriti dan pastikan tiada unsur rasuah dalam penguatkuasaan.  Manakala, masyarakat mesti mengamalkan cara pemanduan defensif dan bertimbang rasa serta bertolak ansur semasa di jalan raya kerana ia mampu menghindari  kemalangan. –UTUSAN

NORDIANA MOHD NORDIN & AZMAN MAT ISA

Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×