TOURISM Malaysia meneruskan usaha memperkukuh kerjasama dengan penggiat industri pelancongan melalui penganjuran program sesi libat urus bersama penggiat industri di negeri-negeri Pantai Timur, bermula dari 20 hingga 22 April, lalu melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Sesi libat urus ini merupakan siri keenam, susulan sesi libat urus yang diadakan sebelum ini di Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Melaka. Program ini juga merupakan kesinambungan daripada pelancaran rasmi logo, lagu, video promosi dan maskot Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
Matlamat utama sesi ini adalah untuk memberikan pendedahan yang lebih menyeluruh berkenaan inisiatif serta peluang yang ditawarkan Tourism Malaysia dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) kepada penggiat industri pelancongan di Kelantan, seterusnya mendukung agenda nasional ke arah kejayaan TMM2026.
Kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta amat penting bagi memastikan Kelantan terus berkembang sebagai destinasi pelancongan utama.
Untuk sesi ini, Tourism Malaysia bekerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak berkepentingan dan pemegang taruh hadir serta menerima maklumat tepat mengenai inisiatif yang ditawarkan.
Antara inisiatif utama yang dikongsi termasuk Geran Sektor Penerbangan dan Charter (GSPC), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), Galakan Melancong (GAMELAN), serta Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK). Selain itu, agensi-agensi seperti Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan Balai Seni Visual Negara (BSVN) turut membentangkan program serta aktiviti tahun 2025 kepada para peserta.
Pada 2024, Malaysia mencatatkan sebanyak 38 juta ketibaan pelawat, meningkat sebanyak 31.1 peratus berbanding 2023.
Bagi 2025, menjelang TMM 2026, negara menyasarkan sebanyak 45 juta ketibaan pelawat antarabangsa dengan jangkaan pendapatan pelancongan sebanyak RM270 bilion.-UTUSAN
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA (TOURISM MALAYSIA)
Kuala Lumpur










