EMBANGUNAN lebuh raya seperti Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) telah memacu industri logistik dan hartanah di kawasan bandar. Namun, kawasan luar bandar seperti Jeli (Kelantan) atau Setiu (Terengganu) masih bergantung pada jalan persekutuan yang usang.
Di Lembah Klang, lebuh raya seperti Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) meningkatkan nilai hartanah sehingga 20 peratus dalam tempoh lima tahun. Namun, di kawasan pedalaman Kelantan, kenaikan nilai tanah hampir tidak ketara.
Laporan Institut Kajian Khazanah (2023) menunjukkan pemilikan kenderaan di Pantai Timur adalah 40 peratus lebih rendah berbanding Pantai Barat. Ini membuktikan kurangnya lebuh raya berkualiti menghalang mobiliti ekonomi.
Pembangunan lebuh raya juga mempengaruhi pelaburan asing (FDI). Pada 2024, 75 peratus FDI tertumpu di negeri dengan jaringan lebuh raya maju seperti Selangor dan Pulau Pinang.
Wilayah seperti Perlis dan Kelantan hanya menerima kurang daripada 5 peratus FDI. Ketiadaan lebuh raya moden menjadi salah satu faktor penghalang utama.
Kesan ketidakseimbangan ini juga jelas dalam industri pelancongan. Destinasi seperti Genting Highlands dan Melaka mendapat lebih banyak pelancong kerana akses lebuh raya yang baik.
Sebaliknya, lokasi menarik di Terengganu seperti Tasik Kenyir kurang dikunjungi kerana kekurangan lebuh raya yang cekap. Data Tourism Malaysia 2024 menunjukkan hanya 20 peratus pelancong asing melawat Pantai Timur.
Kerajaan telah melancarkan projek seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk mengurangkan ketidakseimbangan. Namun, pembinaan lebuh raya seperti Central Spine Road (CSR) masih perlahan, dengan hanya 65 peratus siap setakat 2024.
Ketiadaan jaringan lebuh raya yang baik juga menjejaskan industri pertanian. Petani di Kelantan terpaksa menanggung kos pengangkutan 20 peratus lebih tinggi berbanding di Johor.
Menurut Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), sayur-sayuran dari Cameron Highlands mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke Kuala Lumpur tetapi produk dari Gua Musang mengambil masa enam jam. Ini meningkatkan kos dan mengurangkan daya saing.
Pembangunan lebuh raya yang tidak seimbang juga mempermudah lagi migrasi penduduk.
Ramai anak muda dari Pantai Timur berpindah ke bandar besar untuk mencari pekerjaan.
Statistik Jabatan Perangkaan pada tahun lalu menunjukkan 35 peratus graduan Kelantan bekerja di luar negeri. Ketiadaan peluang ekonomi di kawasan sendiri dikaitkan dengan infrastruktur yang lemah.
Kerajaan perlu memastikan pembangunan lebuh raya lebih inklusif. Projek seperti Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak menunjukkan kesan positif, dengan pertumbuhan ekonomi tempatan meningkat 8 peratus, sejak 2020.
Namun, di Semenanjung, tumpuan masih pada kawasan maju. Peruntukan untuk lebuh raya di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) menunjukkan 60 peratus bajet tertumpu di Pantai Barat.
Penyelesaian jangka panjang memerlukan perancangan lebih teliti. Pembangunan lebuh raya harus seiring dengan pengukuhan ekonomi tempatan, bukan hanya memfokus pada kawasan yang sudah maju.
Dengan strategi yang betul, lebuh raya boleh menjadi pemangkin pembangunan wilayah yang lebih saksama. Malaysia perlu belajar dari kesilapan lalu untuk memastikan pertumbuhan ekonomi lebih seimbang pada masa hadapan.
Ketidakseimbangan ekonomi akibat pembangunan lebuh raya adalah isu kritikal yang perlu ditangani segera.
Kerajaan, penyelidik dan pihak berkepentingan harus bekerjasama untuk memastikan manfaat infrastruktur dinikmati oleh semua wilayah secara adil.-UTUSAN
DR. IRWAN IBRAHIM & DR. ABDUL KHABIR RAHMAT ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans)
Universiti Teknologi Mara (UiTM)