KOMUNITI Pembelajaran Profesional (PLC) semakin mendapat perhatian dalam dunia pendidikan moden sebagai salah satu strategi efektif untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran guru.
Dalam era pendidikan masa kini, perubahan yang pesat dalam kurikulum serta kaedah pengajaran memerlukan guru untuk sentiasa menyesuaikan diri dan memperbaharui pendekatan dalam kelas. Di sinilah PLC memainkan peranan utama, iaitu menyediakan ruang dan peluang bagi guru untuk belajar secara kolaboratif.
Melalui PLC, guru dapat membina budaya pembelajaran yang saling menyokong, bukan hanya sekadar menghadiri kursus atau bengkel secara individu yang kadangkala kurang memberi impak berterusan.
PLC juga berperanan penting dalam menyelesaikan masalah pengajaran yang dihadapi secara praktikal dan relevan dengan konteks sebenar bilik darjah. Guru dalam PLC secara kolektif mengenal pasti isu-isu yang timbul dalam pengajaran dan pembelajaran, kemudian membincangkan serta mencuba pelbagai strategi untuk mengatasinya. Pendekatan ini lebih berkesan kerana guru saling membantu dalam situasi sebenar, bukan sekadar teori sahaja.
PLC turut membantu guru mengatasi rasa terasing dalam profesion perguruan yang sering dihadapi guru baharu atau guru yang bertugas di sekolah terpencil. Dengan adanya PLC, guru mempunyai rakan sekerja yang sentiasa bersedia untuk berbincang, memberi sokongan moral dan berkongsi bebanan serta cabaran kerja harian. Keadaan ini secara langsung dapat meningkatkan kesejahteraan emosi dan mental guru, sekali gus mendorong mereka lebih komited dalam tugas pengajaran.
Pelaksanaan secara konsisten memberi impak positif kepada pencapaian akademik pelajar. Kajian menunjukkan pelajar yang diajar oleh guru yang terlibat aktif dalam PLC cenderung menunjukkan peningkatan dalam prestasi akademik, kerana mereka menerima manfaat langsung daripada pendekatan pengajaran yang lebih efektif dan berpusatkan pelajar.
Lebih jauh lagi, guru secara tidak langsung meningkatkan kemahiran kepimpinan melalui aktiviti seperti memimpin perbincangan, mengurus projek dan membimbing rakan sekerja dalam bidang tertentu.
Walau bagaimanapun, keberkesanannya bergantung kepada sokongan daripada pentadbir sekolah. Kepimpinan sekolah perlu memainkan peranan dalam menyediakan masa, sumber dan pengiktirafan terhadap usaha guru yang terlibat dalam PLC.
Sokongan yang jelas daripada pihak pentadbir memastikan PLC dapat dilaksanakan secara berkesan dan mampan.-UTUSAN
NOR AZIRAH A.R
SMK Dengkil, Selangor










