MAJLIS Mahasiswa Anak Pulau Pinang (MMAPP) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Badawi, sebagai tanda penghormatan kepada negarawan ulung kelahiran negeri ini.
Langkah ini bukan sahaja memperingati sumbangan besar Tun Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri Malaysia ke-5, malah mencerminkan usaha berterusan untuk memupuk semangat patriotisme serta penghargaan terhadap tokoh-tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara, khususnya dalam konteks pembangunan negeri Pulau Pinang.
MMAPP turut menyambut baik cadangan penjenamaan semula Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kepala Batas kepada MRSM Tun Abdullah Badawi. Cadangan ini merupakan langkah tepat dalam mengiktiraf jasa dan sumbangan besar Tun Abdullah yang bukan sahaja berasal dari Kepala Batas, malah telah memainkan peranan penting dalam membina Malaysia yang progresif, inklusif dan berteraskan nilai Madani.
Penjenamaan semula ini diyakini mampu memupuk rasa bangga dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat serta menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk meneladani nilai-nilai kepimpinan, kesederhanaan, kebijaksanaan dan integriti yang dizahirkan oleh beliau sepanjang pentadbiran dan karier politiknya.
MMAPP percaya bahawa usaha sebegini wajar diteruskan agar jasa dan legasi tokoh-tokoh negara dapat terus dihayati dan dikenang oleh generasi kini dan akan datang. – UTUSAN
Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri
Pengarah
Majlis Mahasiswa Anak Pulau Pinang (MMAPP)










