BILIK darjah merupakan ruang utama dalam proses pembelajaran yang memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman pendidikan pelajar. Salah satu aspek penting dalam mewujudkan suasana yang produktif ialah menghiasi bilik darjah dengan maklumat pembelajaran yang relevan serta memastikan ia kekal kondusif sepanjang masa.
Hiasan bersifat mendidik bukan sahaja menjadikan bilik darjah lebih menarik tetapi juga berperanan sebagai alat bantu pengajaran yang boleh merangsang minat serta pemahaman pelajar terhadap pelbagai mata pelajaran.
Selain menggalakkan pembelajaran secara visual, persekitaran bilik darjah yang dihiasi dengan maklumat juga dapat meningkatkan motivasi pelajar. Kata-kata perangsang seperti ‘Jangan takut gagal, teruskan mencuba’ atau ‘Setiap hari adalah peluang baharu untuk belajar’ boleh memberi dorongan kepada pelajar untuk terus berusaha walaupun menghadapi kesukaran dalam pelajaran.
Dalam memastikan bilik darjah sentiasa kondusif, kebersihan dan kekemasan juga perlu diberi perhatian. Bilik yang bersih, teratur dan bebas daripada gangguan seperti bunyi bising atau bau yang kurang menyenangkan akan membantu pelajar menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Meja dan kerusi perlu disusun dengan baik bagi memastikan ruang kelas tidak terlalu sempit atau sesak, sekali gus memberi keselesaan kepada pelajar untuk belajar.
Guru juga boleh menetapkan peraturan bersama bagi memastikan pelajar bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan kelas, seperti memastikan sisa makanan dibuang di tempat yang betul dan bahan pembelajaran disusun semula selepas digunakan.
Suasana psikologi dalam bilik darjah juga memainkan peranan penting dalam memastikan ia kondusif untuk pembelajaran. Guru harus berusaha mewujudkan suasana yang mesra, hormat-menghormati dan penuh dengan semangat kerjasama. Pelajar perlu berasa selesa untuk menyuarakan pendapat, bertanya soalan dan berkongsi idea tanpa rasa takut atau malu.
Interaksi yang positif antara guru dan pelajar serta dalam kalangan pelajar sendiri akan membantu mereka lebih berani untuk mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran. Apabila wujud hubungan yang baik dalam bilik darjah, pelajar akan lebih mudah menerima ilmu dan bekerjasama dalam tugasan yang diberikan.
Penggunaan teknologi juga boleh memperkayakan suasana pembelajaran dalam bilik darjah yang dihiasi dengan maklumat pembelajaran. Papan interaktif, skrin projektor dan komputer yang digunakan secara efektif dapat menambah dimensi baharu dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat digital yang dipaparkan boleh memberikan pengalaman yang lebih dinamik dan menarik bagi pelajar.
Selain daripada guru, pelajar juga boleh terlibat secara aktif dalam menghiasi bilik darjah mereka. Projek kelas seperti sudut kreativiti, galeri hasil kerja pelajar dan pameran mini berkaitan topik pelajaran boleh menjadikan mereka lebih bersemangat untuk belajar.
Apabila mereka melihat hasil kerja sendiri dipamerkan, ia memberikan kepuasan dan meningkatkan keyakinan terhadap kebolehan mereka. Guru boleh menggalakkan pelajar untuk menghasilkan poster pendidikan sendiri, menulis nota ringkas yang boleh dikongsi dengan rakan atau menyediakan sudut pembelajaran interaktif seperti teka-teki dan kuiz dinding.
Dengan itu, usaha menghiasi bilik darjah bukan sekadar hiasan semata-mata, tetapi strategi pendidikan yang dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran secara menyeluruh.-UTUSAN
NOR AZIRAH A. R
SMK Dengkil, Selangor










