Bertuahnya nasib pekerja di Malaysia

Bertuahnya nasib pekerja di Malaysia

PEKERJA di Malaysia boleh dianggap bertuah kerana wujudnya rangka kerja perlindungan yang kukuh, sokongan institusi dan pelbagai peluang pembangunan kerjaya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sambutan Hari Pekerja yang diraikan pada 1 Mei setiap tahun merupakan satu penghormatan kepada golongan pekerja yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan negara.

Di Malaysia, Hari Pekerja diisytiharkan sebagai cuti umum yang memberi ruang kepada pekerja daripada pelbagai sektor untuk berehat dan menghargai sumbangan mereka kepada ekonomi dan masyarakat.

Lebih daripada sekadar satu hari untuk berehat, sambutan ini adalah simbol pengiktirafan terhadap hak dan martabat pekerja di negara ini.

Dalam konteks Malaysia yang pelbagai budaya dan sektor ekonomi yang pelbagai, Hari Pekerja menjadi peluang untuk menilai semula kedudukan dan nasib pekerja tempatan, sejauh mana mereka dilindungi atau dihargai, serta apa lagi yang boleh diperbaiki.

Pekerja di Malaysia boleh dikatakan bertuah kerana wujudnya pelbagai undang-undang buruh yang melindungi kebajikan mereka. Akta Kerja 1955, contohnya, digubal untuk memastikan hak-hak asas pekerja seperti waktu kerja yang munasabah, bayaran gaji yang adil dan cuti tahunan dipelihara.

Pekerja juga mempunyai akses kepada pelbagai saluran untuk mengemukakan aduan atau menyelesaikan pertikaian, termasuk melalui Jabatan Tenaga Kerja dan Mahkamah Buruh. Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam memastikan pekerja tidak ditindas dan mendapat layanan sewajarnya. Selain itu, pelaksanaan gaji minimum oleh kerajaan merupakan langkah signifikan untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi dan memastikan setiap pekerja memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menyara kehidupan asas.

Selain perlindungan undang-undang, pelbagai insentif dan bantuan turut disediakan kepada pekerja. Pekerja sektor awam, menikmati faedah tambahan seperti elaun tetap, pencen, cuti bersalin yang panjang dan kemudahan kesihatan.

Bagi sektor swasta pula, walaupun tidak semua majikan menyediakan faedah seumpama itu, namun banyak syarikat besar bertanggungjawab menawarkan perlindungan insurans, cuti tambahan dan latihan pembangunan profesional. Ini menandakan wujudnya kesedaran yang semakin meningkat tentang pentingnya kebajikan pekerja dalam memastikan produktiviti dan kesetiaan terhadap syarikat.

Dalam era persaingan global, syarikat yang menghargai pekerja biasanya akan berjaya menarik dan mengekalkan tenaga kerja yang berkualiti.

Di Malaysia juga, terdapat kesatuan yang aktif memperjuangkan hak pekerja. Kesatuan ini bertindak sebagai suara kolektif kepada pekerja, terutamanya dalam berunding dengan majikan mengenai isu gaji, waktu kerja dan keselamatan pekerjaan.

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa masih terdapat cabaran yang dihadapi oleh sebahagian pekerja di Malaysia. Golongan pekerja tidak formal, pekerja gig ekonomi serta pekerja asing sering kali terpinggir daripada perlindungan undang-undang dan kemudahan kebajikan. Mereka tidak mempunyai jaminan pendapatan tetap, perlindungan kesihatan atau caruman sosial yang mencukupi.

Kesejahteraan pekerja tidak boleh dinilai hanya berdasarkan golongan pekerja arus perdana sahaja, tetapi harus mengambil kira keseluruhan ekosistem pekerjaan yang semakin kompleks.

Tambahan pula, dalam era teknologi dan automasi, ramai pekerja berdepan ketidakpastian pekerjaan. Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) memperlihatkan perubahan dalam keperluan tenaga kerja dengan banyak pekerjaan tradisional digantikan oleh mesin dan perisian. Oleh itu, pekerja perlu sentiasa meningkatkan kemahiran melalui latihan semula dan peningkatan kemahiran agar kekal relevan dalam pasaran kerja.

Satu lagi aspek, wujudnya pelbagai cuti umum dan cuti khas yang membolehkan mereka menikmati keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi. Dalam banyak kes, majikan juga lebih terbuka terhadap pelaksanaan dasar kerja fleksibel seperti kerja dari rumah, terutamanya selepas pandemik Covid-19. Perubahan ini sedikit sebanyak memberi ruang kepada pekerja untuk menyesuaikan kehidupan kerja dengan keperluan keluarga dan kesihatan mental mereka.-UTUSAN

MOHD. NIZAM MD ISA
Presiden Kesatuan Kakitangan Sokongan
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya