DALAM dunia hiburan, artis sering menjadi tumpuan masyarakat dan dianggap sebagai ikon yang mempengaruhi pemikiran serta tingkah laku peminat.
Peranan mereka bukan sekadar menghibur tetapi juga mencerminkan nilai-nilai budaya dan agama yang dianuti oleh masyarakat.
Oleh itu, amat penting bagi artis untuk sentiasa berhati-hati dalam tutur kata, khususnya apabila menyentuh isu-isu sensitif berkaitan agama dan budaya. Setiap ungkapan yang dilontarkan sama ada dalam temu bual, media sosial atau karya seni berpotensi memberi kesan mendalam kepada khalayak, sama ada dalam bentuk positif atau negatif.
Dalam konteks masyarakat yang berpegang teguh pada nilai keagamaan dan budaya, sebarang kesilapan dalam ucapan boleh mencetuskan kontroversi, malah boleh menjejaskan reputasi artis itu sendiri.
Selain itu, sebagai figura awam, artis juga harus memahami kebebasan bersuara bukan bermakna boleh berkata apa sahaja tanpa batasan. Artis yang memahami nilai-nilai ini akan lebih berhati-hati dalam mengekspresikan pendapat terutama dalam isu yang berkaitan dengan kepercayaan dan amalan masyarakat.
Tambahan pula, kebijaksanaan dalam bertutur turut mencerminkan tahap intelektual seseorang. Artis yang berilmu dan beradab dalam kata-kata akan lebih dihormati, malah dapat menarik peminat daripada pelbagai latar belakang. Mereka bukan sahaja dikenali kerana bakat seni, tetapi juga kerana pemikiran matang dan kebijaksanaan dalam menyampaikan pandangan.
Artis seperti ini dapat memainkan peranan penting dalam menyebarkan mesej-mesej positif, sama ada tentang nilai-nilai murni, perpaduan kaum atau kepentingan menjaga sensitiviti agama dan budaya. Dengan kata lain, keupayaan mereka menapis kata-kata dengan bijak adalah satu aset yang boleh memperkukuh kedudukan mereka dalam industri hiburan.
Dalam usaha memastikan artis lebih peka terhadap ucapan, pendidikan dan kesedaran memainkan peranan penting. Artis perlu diberi pendedahan tentang sensitiviti budaya dan agama, sama ada melalui program kesedaran, bengkel atau kursus khas yang mengajarkan etika komunikasi dalam bidang hiburan. Pihak berwajib seperti kerajaan dan badan industri hiburan juga boleh memainkan peranan dengan memperkenalkan garis panduan etika yang jelas bagi artis dan penggiat seni. Dengan adanya pendidikan yang betul, artis dapat memahami batasan yang perlu dihormati serta implikasi kata-kata mereka terhadap masyarakat secara lebih meluas.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong Johor










