Setiap 8 Mac, dunia menyambut Hari Wanita Sedunia sebagai penghargaan terhadap sumbangan wanita dalam pelbagai sektor. Di Malaysia, dengan tema tahun ini ‘Wanita Beraspirasi Membina Legasi’, usaha memperkasa wanita di tempat kerja menjadi agenda utama bagi memastikan hak, peluang dan layanan adil diberikan, selain meningkatkan prestasi serta pembangunan kerjaya mereka.
Namun, statistik menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding lelaki. Sehingga Jun 2023, hanya 56.3 peratus wanita menyertai sektor pekerjaan berbanding 82.9 peratus lelaki.
Malaysia juga berada di tangga kelapan daripada 10 negara ASEAN dalam penyertaan tenaga buruh wanita. Di sektor awam, peratusan wanita yang kembali bekerja mencapai 38.8 peratus, namun penyertaan golongan itu dalam jawatan pembuat keputusan di sektor swasta masih belum mencapai sasaran 30 peratus.
Kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mendapati 56 peratus wanita pernah mengalami diskriminasi di tempat kerja, termasuk soalan mengenai status perkahwinan dan halangan dalam kenaikan pangkat. Situasi ini bukan sahaja menjejaskan motivasi wanita tetapi juga menghalang mereka mencapai potensi penuh.
Untuk mengatasi cabaran ini, kerajaan melanjutkan galakan cukai bagi wanita yang kembali bekerja sehingga 2027 serta meningkatkan had pengecualian cukai pendapatan ke atas elaun penjagaan anak.
Selain itu, program latihan kepimpinan dan kemahiran teknikal bagi wanita perlu diperkukuh untuk memastikan mereka terus berdaya saing dalam industri.
Majikan juga perlu menyediakan persekitaran kerja yang lebih kondusif dan bebas diskriminasi. Kemudahan seperti pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja harus diperbanyakkan bagi membantu wanita mengimbangi kerjaya dan keluarga. Dalam era digitalisasi, wanita juga harus digalakkan menyertai bidang teknologi dan sains agar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan global.
Pemerkasaan wanita di tempat kerja memerlukan kerjasama semua pihak. Dengan hak dan peluang yang adil, wanita dapat berkembang secara optimum, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kemajuan negara.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).









