HAKIKATNYA, mengirim kad hari raya merupakan satu warisan budaya yang dapat memupuk hubungan erat sesama masyarakat. Justeru, tradisi ini perlu dipupuk semula terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam menyemarakkan lagi budaya mengirim kad hari raya, semua pihak harus bekerjasama tidak kira sama ada agensi kerajaan, swasta, sekolah mahupun institusi keluarga.
Pengurusan tadika atau prasekolah misalnya melalui guru-guru yang kreatif boleh menganjurkan pertandingan mencipta kad bertema hari raya. Selain itu, jika sebelum ini hanya pengurusan tertinggi di sesebuah sektor atau jabatan mengirim atau menerima kad, budaya itu boleh disemarakkan lagi dengan penglibatan kakitangan bawahan yang lain. Dengan cara itu, secara tidak langsung hubungan baik antara pihak atasan dengan bawahan dapat diperkukuh.
Apapun, perlu diakui kemunculan kad digital banyak mengubah budaya dan cara masyarakat menzahirkan ucapan sebagai tanda ingatan. Selain mudah, ringkas dan menjimatkan masa, faktor kos yang lebih murah juga menyebabkan kad digital yang dibeli secara dalam talian menjadi pilihan. Selain itu, ia boleh dihantar kepada sesiapa sahaja tanpa mengira masa dan boleh dimuat naik ke dalam media sosial.
Namun hakikatnya, kad digital juga mempunyai kekurangannya tersendiri. Sesetengahnya mempunyai jangka hayat yang singkat dan tidak boleh diakses apabila melebihi suatu tempoh. Selain itu, ia boleh terpadam, tidak boleh disimpan dan lebih parah lagi sekiranya telefon pintar mengalami masalah.
Walaupun teknologi menawarkan kemudahan namun mengutus kad fizikal membawa makna yang lebih signifikan kerana usaha yang diambil seperti membeli kad, menulis dan mengepos kad tersebut menyerlahkan ketulusan hati si pengirim. Sekalipun nilai kad itu tidak seberapa namun kepada yang menerima, ia adalah satu penghargaan yang cukup besar. Nilainya tidak pernah susut sepanjang zaman.-UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN
Banting, Selangor










