Sekolah menegak boleh berdepan risiko?

Sekolah menegak boleh berdepan risiko?

FAKTOR seperti keselamatan, mobiliti, persekitaran dan psikologi perlu dilihat sebelum membina sekolah dengan konsep menegak. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencadangkan pembinaan sekolah konsep menegak sebagai penyelesaian terhadap isu keterbatasan tanah di ibu kota. Konsep ini dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Singapura dan Jepun, namun pelaksanaannya di Malaysia memerlukan kajian mendalam bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya.

Bangunan sekolah yang tinggi menimbulkan cabaran keselamatan, khususnya dalam situasi kecemasan seperti kebakaran. Laluan evakuasi yang mencukupi serta sistem pemadaman kebakaran automatik perlu dipastikan agar proses pemindahan berjalan lancar dan selamat.

Kapasiti lif dan tangga kecemasan juga perlu direka untuk menampung jumlah pelajar yang ramai bagi mengelakkan kesesakan dan risiko kecederaan semasa pemindahan.

Sekolah bertingkat tinggi memerlukan sistem mobiliti yang efisien agar pergerakan pelajar, guru dan kakitangan tidak terganggu. Sekiranya kapasiti lif tidak mencukupi, kesesakan akan berlaku terutama pada waktu puncak.

Murid-murid yang lebih muda atau mereka yang berkeperluan khas mungkin menghadapi kesukaran untuk berpindah dari satu tingkat ke tingkat lain jika kemudahan tidak mesra pengguna. Situasi ini boleh mengakibatkan kelewatan dalam aktiviti pembelajaran dan tekanan kepada pelajar serta guru.

Persekitaran sekolah yang tertutup dan terhad juga boleh memberi kesan psikologi kepada pelajar. Kekurangan ruang lapang dan kawasan rekreasi boleh mengurangkan peluang mereka untuk bersosial dan beriadah, yang merupakan aspek penting dalam perkembangan emosi dan sosial.

Kajian menunjukkan bahawa persekitaran yang sempit dan sesak boleh meningkatkan tekanan serta mengurangkan daya tumpuan pelajar dalam pembelajaran. Suasana pembelajaran yang kurang kondusif akan memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik pelajar dalam jangka panjang.

Dari segi kejuruteraan, bangunan tinggi menghadapi cabaran dari segi kestabilan struktur. Analisis geoteknikal perlu dijalankan sebelum pembinaan bermula bagi memastikan kestabilan tapak. Sekolah menegak juga perlu dibina dengan mengambil kira daya tahan terhadap gempa bumi dan angin kencang, terutama jika struktur ini dibina di kawasan yang mempunyai tanah kurang stabil. Penggunaan bahan binaan berkualiti tinggi dan teknologi sokongan seperti peredam gegaran perlu diberi perhatian bagi memastikan ketahanan bangunan dalam tempoh penggunaan yang panjang.

Bangunan tinggi sering mengalami masalah pengudaraan semula jadi yang terhad, terutama di tingkat atas. Tanpa sistem pengudaraan dan pencahayaan yang baik, keadaan dalam bilik darjah boleh menjadi tidak selesa, menyebabkan peningkatan penggunaan penghawa dingin yang akan meningkatkan kos operasi sekolah. Pencahayaan buatan yang berlebihan juga boleh memberi kesan kepada kesihatan mata pelajar dan guru dalam jangka panjang, mengakibatkan keletihan dan mengurangkan produktiviti pembelajaran.

Dengan kapasiti pelajar yang ramai di sekolah menegak, kesesakan lalu lintas boleh menjadi lebih teruk jika sistem pengurusan trafik tidak disusun dengan baik. Kawasan menurunkan dan mengambil pelajar perlu direka dengan strategi yang cekap bagi mengelakkan risiko pelanggaran dan kecederaan.

Selain itu, aktiviti kokurikulum seperti sukan dan rekreasi mungkin terjejas dalam sekolah menegak. Sekolah tradisional mempunyai kawasan luas untuk padang bola, gelanggang sukan, dan aktiviti luar, namun sekolah menegak mempunyai keterbatasan ruang. Walaupun bumbung atau beberapa tingkat bangunan boleh diubah menjadi kawasan sukan, cabaran keselamatan dan kepraktisan penggunaan masih menjadi isu utama.

Pergerakan pelajar antara kelas dan makmal sains mungkin perlu dijadualkan dengan ketat untuk mengelakkan kesesakan. Guru mungkin perlu menggunakan teknologi pembelajaran digital dengan lebih kerap untuk mengurangkan keperluan pelajar bergerak antara tingkat.-UTUSAN

AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan,
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN