HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Apa yang diharapkan, biarlah perancangan untuk sambutan tersebut dibuat secara berhemah dengan penuh kesempurnaan.
Bagi mereka yang bekerja di luar dan merancang untuk pulang ke kampung, siapkanlah kenderaan supaya segalanya berada dalam keadaan yang baik.
Dalam hal ini, saya menyokong setiap pemilik kenderaan membelanjakan wang lebih banyak bagi memastikan kenderaan yang akan digunakan semasa hendak pulang ke kampung nanti dijamin selesa.
Bagaimanapun saya tidak bersetuju jika umat Islam di negara ini berbelanja berlebihan untuk membuat kuih raya dan membeli baju raya.
Kalau anda dari golongan orang berada sekalipun, belanjalah secara ala kadar. Pakaian raya yang dibeli untuk anak-anak usahlah terlalu mahal.
Begitu juga dengan penyediaan makanan. Sedialah secara sederhana. Walaupun hari raya datang hanya setahun sekali, namun ingat dan insaflah anak-anak di Palestin memakai pakaian yang sudah lusuh dan ada yang hanya meminum air paip.
Sementara itu, mereka yang hendak pulang beraya di kampung menggunakan kenderaan sendiri hendaklah lebih berhati-hati semasa memandu.
Sudah pasti pada masa tersebut, bilangan kenderaan meningkat berlipat ganda. Elaklah daripada berlaku sesuatu yang tidak diingini semasa berada di atas jalan raya.
Kita tidak mahu kegembiraan yang dicari dalam suasana menyambut hari raya, bertukar dengan kisah duka.
Bagi mereka yang mempunyai anak kecil pula, saya sarankan bawa makanan bekal yang mencukupi.
Elakkan untuk singgah dan makan di hentian Rawat dan Rehat (R&R) yang sudah pasti akan penuh sesak.
Pendek kata, segala persiapan yang dibuat untuk menyambut kedatangan Aidilfitri nanti biarlah dibuat secara sederhana dan teratur.
Semoga tahun ini kita bergembira menyambut hari raya, dipanjangkan usia untuk membolehkan sambutan yang sama dirasai pada hari raya tahun hadapan.-UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










