Sajikan Ramadan dengan zikir

Sajikan Ramadan dengan zikir

AMALAN berzikir kadang-kadang dilihat sebagai amalan ringan dan remeh namun hakikatnya ia merupakan antara amalan yang mulia dan agung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ZIKIR bermaksud sebut dan ingat manakala dalam sudut istilah yang difahami umum adalah sebutan yang berulang-ulang tentang nama-nama Allah dan juga sifat-sifat-Nya. Zikir yang biasa dilakukan secara umum oleh umat Islam merangkumi tasbih, tahmid, takbir, tahlil, membaca al-Quran dan sebagainya. Namun intipati kepada semua zikir-zikir tersebut adalah ingatan yang sebenar-benarnya kepada Allah.

Zikir boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu berzikir dengan sebutan (zikir lisan) dan juga berzikir dengan ingatan (zikir hati). Kedua-dua jenis zikir ini mampu mendekatkan diri seorang mukmin kepada Tuhannya dengan sedekat-dekatnya.

Amalan berzikir kadang-kadang dilihat sebagai amalan ringan dan remeh namun hakikatnya ia merupakan antara amalan yang mulia dan agung. Kedudukan amalan berzikir sangat tinggi berbanding amalan-amalan lain yang disyariatkan di dalam Islam dan boleh dianggap sebagai amalan yang agung. Oleh sebab itulah, zikrullah merupakan amalan utama para malaikat, wali-wali Allah, para ulama dan juga para pejuang di jalan-Nya. Zikrullah menjadi sumber kekuatan utama dan merupakan amalan wajib bagi insan yang ingin mendekatkan dirinya kepada Allah.

Maka, dengan tumpuan yang mendalam dan zikir yang berterusan ini akan mampu menghasilkan mukmin yang terbaik serta mempunyai kekuatan fizikal dan mental. Mereka adalah golongan yang sentiasa menjadikan Allah sebagai teman di dalam hati sepanjang masa dan dalam semua keadaan.

Berzikir menjelang Ramadan adalah satu persediaan rohani yang sangat penting. Ia bukan sahaja membantu kita membersihkan hati dan jiwa, tetapi juga mendekatkan diri kepada Allah, memohon keampunan-Nya, serta melatih kesabaran dan ketenangan dalam diri. Dengan membiasakan diri berzikir sebelum Ramadan, kita dapat memasuki bulan suci ini dengan hati yang lebih bersih, tenang dan bersedia untuk meraih keberkatan serta keampunan daripada Allah di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD ASHROF ZAKI YAAKOB
Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Shah Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN