Rebut peluang kumpul pahala sempena Ramadan

Rebut peluang kumpul pahala sempena Ramadan

BULAN Ramadan adalah bulan yang mulia lagi diberkati. Maka, lakukan perkara-perkara yang boleh membawa manfaat sama ada di dunia atau akhirat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBAGAI seorang Muslim, Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu umat Islam tidak kira di Malaysia atau di seluruh pelosok dunia.

Umat Islam diperintah untuk berpuasa tanpa mengira darjat, pangkat dan kedudukan seseorang itu.

Dalam Rukun Islam, berpuasa merupakan rukun keempat iaitu selepas mendirikan solat fardu lima waktu sehari semalam. Rukun Islam umpama tiang-tiang yang saling memerlukan antara satu sama lain untuk menegakkan Islam dengan sempurna.

Ramadan adalah bulan yang penting untuk seseorang melakukan refleksi diri, memperkuatkan iman dan memperbaiki hubungan dengan masyarakat.

Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud “Hai orang-orang yang beriman diwajibkan bagimu ibadah berpuasa, sebagaimana diwajibkan bagi orang-orang sebelum kalian, agar kalian menjadi orang-orang yang bertakwa.”

Berpuasa bukan semata-mata hanya untuk menahan lapar dan dahaga, malah ia menuntut umat Islam untuk lebih sabar dalam apa jua ujian dan dugaan yang mendatang.

Di samping itu, bulan Ramadan adalah platform terbaik untuk mengumpul pahala dan setiap amalan yang dilakukan akan dilipat gandakan pahalanya berbanding bulan-bulan yang lain.

Istimewanya puasa menjadikan tubuh badan kita lebih sihat, yang mana sepanjang tahun perut di isi dengan makanan dan minuman, tetapi di bulan Ramadan, perut dapat direhatkan bermula selepas bersahur sehingga masuknya waktu berbuka puasa.

Sewaktu berpuasa tubuh manusia akan melalui proses detoksifikasi iaitu mencuci dan membersihkan badan daripada racun dan toksin.

Selain itu antara kelebihan berpuasa adalah ia dapat menurunkan paras gula dan lemak di dalam darah serta memberi kesan yang baik kepada metabolisme badan.

Di dalam bersahur terdapatnya keberkatan dan disebabkan itu umat Islam dituntut untuk bersahur. Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan”.

Rasulullah SAW menekankan agar bersahur dilewat-lewatkan dan tidak ditinggalkan.

Di bulan Ramadan juga umat Islam dituntut untuk memperbanyakkan amalan bersedekah dan membaca al-Quran.

Lazimnya amalan seperti membaca al-Quran, membaca kisah-kisah sejarah Islam, berzikir dan melakukan perkara-perkara lain yang bermanfaat boleh dilakukan sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Setelah masuk waktu berbuka puasa, nikmatilah juadah dengan tertib dan bukannya secara gelojoh. Boleh juga mengikut sunnah Rasulullah dengan memakan buah kurma terlebih dahulu sebelum menikmati juadah berat yang lain.

Lalu tunaikan solat Maghrib. Kemudian solat Isyak dan diakhiri dengan solat Tarawih dan Witir.

Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia lagi diberkati. Usah dicemari bulan yang mulia ini dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah.

Jadikanlah bulan Ramadan ini sebagai ladang untuk mengumpul dan menambah pahala dalam mendapatkan keberkatan serta keredaan Allah SWT.-UTUSAN

AFNAN HASIM
Institut Koperasi Malaysia (IKMa)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN