Ramadan bulan terbaik bentuk adab, akhlak murid

Ramadan bulan terbaik bentuk adab, akhlak murid

SERAMAI 57,910 daripada 2.12 juta murid yang menjalani saringan di seluruh negara dikenal pasti sebagai pembawa talasemia. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita sedang berada dalam bulan penuh keberkatan. Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, tetapi juga medan pendidikan yang luas bagi membentuk adab dan akhlak anak.

Pendidikan Ramadan bukan sekadar mengajar anak menahan diri daripada makan dan minum tetapi juga mengajar mereka untuk mengawal emosi, menjaga pertuturan dan menyemai rasa empati terhadap orang lain.

Ini bermakna pendekatan pendidikan perlu bersifat holistik. Misalnya, guru boleh mengadakan sesi refleksi harian dengan murid mencatat perasaan dan cabaran mereka sepanjang hari berpuasa. Ini bukan sahaja membina kesedaran diri tetapi juga melatih kemahiran pengurusan emosi.

Ramadan adalah masa terbaik untuk membentuk adab yang baik dalam kalangan murid.

Amalan seperti bersedekah, membantu rakan dan berbuat baik kepada ibu bapa boleh disulam dalam aktiviti kelas. Program seperti Satu Hari Satu Kebaikan boleh dilaksanakan,. Melalui program ini, murid digalakkan mencatat satu perbuatan baik yang dilakukan setiap hari.

Guru juga boleh memanfaatkan teknologi dengan meminta murid merakam video pendek tentang aktiviti Ramadan mereka sama ada membantu menyediakan juadah berbuka atau membaca al-Quran. Ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menggalakkan mereka merefleksi amalan sendiri.

Namun, terdapat cabaran yang tidak boleh dipandang enteng. Ada sesetengah sekolah yang masih melihat Ramadan sebagai hal peribadi murid dan tidak menyediakan program khusus untuk mendidik mereka tentang nilai dan makna sebenar puasa. Ini menyebabkan pendidikan Ramadan di sekolah menjadi pasif dan tidak memberi impak besar.

Sebagai contoh, murid mungkin berpuasa secara fizikal tetapi masih bergaduh dengan rakan atau tidak menghormati guru.

Bagi memastikan pendidikan Ramadan lebih bermakna, sekolah boleh memperkenalkan program seperti Ramadan Akhlak Gemilang, yang memfokuskan kepada tiga teras utama iaitu pengurusan emosi melalui bengkel mini tentang cara mengawal marah dan bersabar, pemupukan amal kebajikan dengan projek kebajikan seperti mengumpul derma untuk anak yatim atau gotong-royong, serta refleksi diri melalui buku log Ramadan untuk murid mencatat amalan harian mereka.

Kerjasama antara guru, ibu bapa dan komuniti setempat juga penting. Ibu bapa boleh dijemput ke sekolah untuk berkongsi pengalaman mereka berpuasa sewaktu kecil, sekali gus mewujudkan suasana Ramadan yang lebih bermakna.

Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan penting di rumah untuk membantu anak-anak yang baru belajar berpuasa. Antara tip yang boleh dipraktikkan termasuk:
 Berpuasa secara berperingkat: Galakkan anak berpuasa separuh hari pada permulaan, kemudian secara beransur-ansur hingga mereka mampu melengkapkan puasa penuh.
 Sediakan juadah kegemaran: Berbincang dengan anak mengenai menu berbuka untuk menaikkan semangat mereka.
 Aktiviti menarik selepas sahur dan berbuka: Adakan aktiviti ringan seperti membaca kisah Nabi, mewarna atau menyusun jadual Ramadan agar mereka tidak fokus pada kelaparan.
 Beri pujian dan galakan: Raikan pencapaian anak, walaupun mereka hanya mampu berpuasa separuh hari. Ini akan membina keyakinan diri mereka.
 Tunjukkan teladan baik: Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan kesabaran, kawalan emosi dan amalan baik sepanjang Ramadan kerana anak-anak belajar melalui pemerhatian.

Pendidikan Ramadan perlu melangkaui sekadar memberi tahu tentang puasa. Ia harus menjadi wadah untuk memupuk adab mulia, memperkasa nilai murni dan membentuk akhlak murid. Dengan pendekatan yang kreatif, holistik dan bersepadu, Ramadan boleh menjadi peluang keemasan bagi membentuk generasi muda yang bukan sahaja taat beribadah tetapi juga kaya dengan nilai kemanusiaan.

Sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu akademik tetapi juga medan membina tingkah laku positif dan Ramadan adalah masa terbaik untuk memulakan langkah ini.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. AZIZAH ZAIN
Pensyarah kanan
Universiti Pendidikan Sultan Idris

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN