Pelajar harus bersaing dengan diri sendiri

Pelajar harus bersaing dengan diri sendiri

APABILA seseorang pelajar memberi tumpuan kepada peningkatan diri, dia akan lebih memahami kelebihan dan kekurangannya sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia pendidikan, kejayaan sering diukur berdasarkan perbandingan antara pelajar. Markah peperiksaan, kedudukan dalam kelas dan pencapaian akademik dijadikan penanda aras yang menentukan siapa yang lebih hebat.

Namun, budaya persaingan seperti ini boleh membawa tekanan yang tidak sihat kepada pelajar. Hakikatnya, setiap individu mempunyai keunikan tersendiri dan kemampuan belajar yang berbeza. Oleh itu, pelajar seharusnya bertanding dengan diri sendiri, bukan dengan orang lain kerana matlamat utama pendidikan adalah untuk meningkatkan potensi diri, bukan sekadar menyaingi rakan sebaya.

Apabila seseorang pelajar memberi tumpuan kepada peningkatan diri, dia akan lebih memahami kelebihan dan kekurangannya sendiri. Dengan menilai pencapaian diri dari semasa ke semasa, mereka dapat mengenal pasti aspek yang perlu diperbaiki tanpa merasa rendah diri atau tertekan kerana perbandingan dengan orang lain.

Sebaliknya, jika seseorang hanya melihat kejayaan berdasarkan pencapaian orang lain, dia mudah merasa kecewa dan hilang motivasi.

Fokus pada persaingan dengan diri sendiri juga membantu membina sikap disiplin dan ketekunan dalam diri pelajar. Apabila mereka menetapkan sasaran peribadi dan berusaha mencapainya, mereka belajar untuk bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

Selain itu, apabila pelajar bertanding dengan diri sendiri, mereka akan lebih cenderung untuk menikmati proses pembelajaran. Pendidikan bukan sekadar mendapatkan markah tinggi, tetapi juga memahami ilmu dan menguasai kemahiran yang berguna untuk kehidupan.

Ibu bapa dan guru juga memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran pelajar untuk fokus pada peningkatan diri sendiri. Mereka harus menggalakkan pelajar untuk menetapkan matlamat peribadi berdasarkan keupayaan masing-masing dan memberi penghargaan terhadap usaha yang dilakukan, bukan hanya kepada keputusan yang dicapai.

Apabila pelajar melihat usahanya dihargai tanpa dibandingkan dengan orang lain, mereka akan lebih terdorong untuk terus berusaha dengan penuh keikhlasan.-UTUSAN

AZIZUL ASYRAF MD. HELMI
SMK Dato Sulaiman
Parit Sulong, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN