Libatkan pengajar luar untuk perkasa pengajaran subjek kritikal

Libatkan pengajar luar untuk perkasa pengajaran subjek kritikal

PENGLIBATAN guru luar dapat meningkatkan sistem pendidikan negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kecekapan guru dalam menyampaikan pembelajaran memainkan peranan besar dalam memastikan kejayaan pelajar, namun sistem pendidikan di Malaysia masih berdepan cabaran dalam mencapai standard global.

Di negara-negara maju, amalan membawa masuk pakar pendidikan dari luar menjadi sebahagian daripada strategi utama dalam memperkasa sistem pendidikan. Malaysia boleh mencontohi langkah ini bagi memastikan guru tempatan mendapat pendedahan kepada teknik pengajaran moden, kaedah penyampaian yang lebih interaktif serta memahami pendekatan global dalam menangani cabaran pengajaran subjek kritikal.

Salah satu cabaran utama dalam sistem pendidikan kita adalah kekurangan guru yang benar-benar berpengalaman dalam bidang tertentu, terutama Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Walaupun ramai guru memiliki kelayakan akademik, pengalaman mereka dalam menerapkan pendekatan berasaskan penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan aplikasi dunia sebenar masih perlu dipertingkatkan.

Selain itu, silibus pendidikan yang sentiasa berubah selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa menambah cabaran kepada guru untuk terus mengikuti perkembangan terkini. Dengan adanya bimbingan serta perkongsian ilmu daripada tenaga pengajar luar, guru dapat didedahkan kepada kaedah terbaik dalam menangani perubahan ini sekali gus memastikan pembelajaran lebih relevan dan berkualiti.

Teknologi memainkan peranan penting dalam meningkatkan keberkesanan pengajaran, khususnya dalam subjek seperti Sains dan Matematik. Namun, ramai guru masih menghadapi kesukaran dalam mengadaptasi teknologi secara optimum dalam bilik darjah akibat kekangan latihan dan pendedahan.

Dengan penglibatan tenaga pengajar luar yang berpengalaman dalam teknologi pendidikan, guru tempatan dapat dilatih dalam penggunaan kaedah digital yang lebih interaktif dan efektif, sekali gus menjadikan pembelajaran lebih menarik dan mudah difahami.

Untuk memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan baik, beberapa langkah boleh diambil pihak kerajaan dan institusi pendidikan, antaranya mengadakan latihan dan bengkel bersama pakar antarabangsa secara berkala bagi memberi pendedahan kepada guru tentang kaedah pengajaran moden.

Selain itu, program pertukaran guru dengan negara yang mempunyai sistem pendidikan lebih maju boleh diperkenalkan.

Di samping itu, kursus dalam talian yang melibatkan kerjasama dengan tenaga pengajar luar juga boleh dijadikan sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kemahiran dengan lebih fleksibel.

Kerjasama antara sekolah dan universiti tempatan dengan institusi pendidikan antarabangsa merupakan potensi besar dalam memperkasa pengajaran subjek kritikal. Kerjasama ini bukan sahaja dapat membantu dalam pembangunan kurikulum yang lebih relevan dengan keperluan semasa, malah membolehkan kajian pendidikan dilakukan secara lebih sistematik bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Apabila guru mendapat pengalaman dan pendedahan daripada tenaga pengajar luar, kualiti pengajaran dalam bilik darjah akan meningkat dengan ketara, sekali gus memberi manfaat besar kepada pelajar.-UTUSAN

IRDINA SYAFIAH RASIDI
Pelajar SMK Dato Sulaiman Parit Sulong,
Batu Pahat, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN