PEMIMPIN politik terpaksa bertegang urat membahas tentang subsidi padi di Parlimen, sedangkan isu sebenar ialah produktiviti rendah.
Sektor pertanian kecil di Malaysia beroperasi pada tahap produktiviti rendah dan dikaitkan dengan pembaziran sumber, amalan secukup hidup, kemiskinan dan merugikan negara.
Jika ditinjau kebanyakan dusun di luar bandar didapati saiz dusun sekadar satu ekar (0.4 hektar) yang menanam dua atau tiga pokok durian atau dua atau tiga pokok rambutan, sebatang pokok macang, sebatang pokok rambai dan beberapa pokok kelapa. Ini sudah memuaskan hati pemiliknya sebagai seorang pekebun secukup hidup.
Selepas peninggalan pekebun tersebut, hak penjagaan kebun diambil alih pewaris dan jika dikonsolidasikan secara betul akan menjadikan kebun tersebut terbiar.
Kerajaan sedang melaksanakan skim subsidi padi bernilai berbilion ringgit setahun untuk menambah pendapatan pesawah padi, namun pesawah masih sukar menampung kos hidup.
Pesawah sedang beroperasi pada hasil 4 tan metrik (mt) sehektar walhal hasil sepatutnya adalah tiga kali ganda iaitu 12 mt. Keadaan ini sudah lama dan tiada tanda akan berubah.
Jepun mengeluarkan subsidi pada tahap pengeluaran produktiviti tinggi mencondongi harga beras di pasaran untuk turun dan subsidi bertujuan untuk menggalakkan pesawah terus menanam padi.
Instrumen lain yang digunakan ialah meningkatkan simpanan stok beras. Keadaan di Malaysia berlainan, yang mana penghasilannya di tahap produktiviti rendah menyebabkan bekalan beras sentiasa tidak mencukupi. Setiap subsidi padi akan menyebabkan harga beras di pasaran naik sehingga menjejaskan pengguna.
Sampai bilakah sektor pertanian kita akan terus mundur kebelakang? Jika sektor estet telah berzaman beropeasi pada tahap produktiviti tinggi dalam pengeluaran kelapa dan getah, jadi apa alasan sektor pertanian kecil tidak boleh capai tahap tersebut?-UTUSAN
MOHAMED YUSOFF YAHYA
Pusing, Perak










