SALAH satu cabaran utama dalam pembelajaran matematik selama ini ialah kurangnya minat dalam kalangan murid. Ramai yang melihat matematik sebagai subjek yang sukar dan membosankan serta tidak relevan dalam kehidupan seharian.
Dengan pendekatan yang lebih dekat dengan pengalaman harian, pembelajaran akan menjadi lebih menarik dan interaktif. Matematik boleh menjadi lebih mudah difahami dan menyeronokkan.
Salah satu pendekatan yang boleh digunakan ialah pembelajaran berbentuk permainan atau gamifikasi. Kajian telah menunjukkan bahawa kaedah ini mampu meningkatkan minat dan pemahaman murid. Sebagai contoh, konsep pecahan boleh diajar melalui permainan kad atau aktiviti pembelajaran algebra menggunakan teka-teki interaktif. Pembelajaran berbentuk gamifikasi ini akan lebih mendorong murid untuk menyelesaikan masalah secara kreatif dengan adanya elemen cabaran dan ganjaran.
Selain itu, penggunaan teknologi juga boleh membantu murid memahami konsep matematik dengan lebih baik. Papan putih interaktif membolehkan guru menerangkan konsep secara visual. Graf boleh dianimasikan, simulasi boleh dipaparkan dan murid boleh melihat secara terus bagaimana formula matematik diaplikasikan dalam situasi sebenar.
Aplikasi seperti GeoGebra, Desmos dan Wolfram Alpha pula boleh membantu murid meneroka konsep geometri dan algebra dengan lebih interaktif. Contohnya dalam topik trigonometri, murid boleh mengubah nilai sudut secara langsung untuk melihat bagaimana ia mempengaruhi panjang sisi segi tiga. Untuk menggalakkan murid terlibat secara aktif, platform kuiz interaktif seperti Kahoot!, Quizizz dan Mentimeter juga boleh digunakan bagi menguji pemahaman murid.
Di Jepun, pendekatan pembelajaran kontekstual telah digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Contohnya, murid diberikan tugasan untuk membandingkan kos tambang pengangkutan awam dengan menggunakan formula kadar dan jarak.
Hasilnya, mereka bukan sahaja memahami konsep matematik dengan lebih baik tetapi juga dapat melihat kegunaan ilmu itu dalam kehidupan seharian.
Dalam konteks Malaysia pula, pendekatan ini boleh digunakan dalam pelbagai cara. Murid boleh diberikan tugasan untuk merancang bajet bagi sesuatu program sekolah dengan mengambil kira kos perbelanjaan makanan dan bahan aktiviti program. Dalam aspek kehidupan harian, murid boleh melakukan perbandingan harga barang dari beberapa kedai fizikal atau platform beli-belah dalam talian bagi mendapatkan pilihan yang paling berbaloi. Aktiviti seperti ini bukan sahaja membantu murid memahami konsep matematik, tetapi juga membina kemahiran membuat keputusan dalam aktiviti seharian mereka.
Perubahan ini mungkin tidak mudah tetapi ia boleh dimulakan dengan langkah yang kecil. Jika selama ini matematik lebih tertumpu kepada latihan dalam buku teks, sudah tiba masanya untuk kita menerapkan pendekatan yang lebih praktikal dan relevan dengan dunia sebenar. Guru boleh mencuba dengan kaedah baharu dan sekolah pula perlu menyokong dengan menyediakan teknologi yang sesuai. Murid sendiri boleh diberi peluang untuk meneroka matematik mengikut cara yang lebih kreatif.
Sesi baharu persekolahan ini bukan sekadar membuka peluang untuk menimba ilmu seperti biasa tetapi juga ruang untuk kita berfikir semula tentang bagaimana ilmu itu disampaikan. Dengan pendekatan yang lebih dinamik dan bermakna, diharapkan pada masa depan lebih ramai murid mampu memahami matematik dan menghayati penggunaannya. – UTUSAN
SYED AZMAN SYED ISMAIL DAN PROFESOR MADYA DR. SITI MISTIMA MAAT
Universiti Kebangsaan Malaysia










