Fahamlah, sungai bukan longkang kilang

Fahamlah, sungai bukan longkang kilang

SUNGAI mencapai tahap ketepuan maksimum menerima bebanan bahan pencemar efluen sejak berabad-abad yang lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia telah menyaksikan pertumbuhan pesat dalam sektor perindustrian atau pembuatan negara sejak beberapa dekad yang lalu. Sektor ini merupakan penggerak ekonomi yang menyumbang RM1.2 trilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun 2024. Sektor pembuatan ini merangkumi sub-sektor kimia, automotif, elektrik dan elektronik yang merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

Namun dari sudut lain ia turut memberikan impak yang negatif terhadap alam sekitar, khususnya kualiti sungai ekoran peningkatan pelepasan efluen ke dalam sungai sama ada pelepasan sisa terawat mengikut had yang ditetapkan dalam Peraturan Pelepasan Efluen Perindustrian 2009 di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ataupun pelepasan sisa tanpa rawatan oleh kilang-kilang yang tidak bertanggungjawab.

Namun, kajian yang dijalankan oleh Institut Maritim Malaysia (MIMA), mendapati had kepekatan pelepasan efluen yang ditetapkan mengikut parameter dalam peraturan yang digubal pada 2009 tidak lagi relevan dan perlu disemak semula.

Hal ini kerana pada masa ini kadar pelepasan efluen dilihat tinggi apabila mengambil kira jumlah kilang yang semakin bertambah jumlahnya saban hari. Jumlah isi padu efluen yang dilepaskan oleh kilang yang semakin bertambah, kadar taburan hujan yang berkurangan dan kesan perubahan iklim menyebabkan penyusutan isi padu air sungai serta cuaca panas memburukkan lagi keadaan.

Ia menyebabkan kepekatan bahan pencemar dalam air sungai meningkat secara drastik.

Memandangkan sungai-sungai menerima bebanan bahan pencemar efluen sejak berabad-abad yang lalu, sungai-sungai ini mungkin telah mencapai tahap ketepuan maksimum. Oleh itu, sungai-sungai ini mempunyai kapasiti yang terhad untuk melaksanakan proses pencairan dan regulasi secara semula jadi bagi mengurangkan kesan pencemaran sisa-sisa tersebut.

Dalam erti kata lain, pencemaran sungai menunjukkan ia sudah tidak berkemampuan untuk memulihkan diri melalui proses biologi semula jadi ekoran ‘tahap kesihatan’ sungai yang sudah terjejas. Jika perkara ini berterusan, sungai akan bertukar menjadi longkang kilang yang sudah tidak lagi berfungsi sebagai ekosistem akuatik, serta tidak dapat dimanfaatkan lagi oleh manusia.-UTUSAN

DR. NUR ZULAIKHA dan POFESOR MADYA DR. SYUHAIDA ISMAIL
Institut Maritim Malaysia (MIMA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN