DALAM era moden ini, drama televisyen yang bertemakan keretakkan rumah tangga menjadi pilihan penonton. Kisah-kisah yang dipaparkan dalam drama sebegini biasanya mengetengahkan isu-isu seperti perselingkuhan, perebutan harta, pergolakan keluarga dan konflik antara suami isteri.
Walaupun sering dikritik kerana terlalu sensasi dan dramatik, ia sebenarnya memberikan pelbagai pengajaran yang berguna kepada masyarakat. Jika ditonton dengan minda yang terbuka, masyarakat boleh mengambil iktibar daripada jalan ceritanya dan mengelakkan kesilapan sama dalam kehidupan sebenar.
Salah satu pengajaran ialah kepentingan berkomunikasi dengan baik. Banyak konflik berlaku berpunca daripada salah faham, ego dan kegagalan pasangan untuk berkomunikasi secara berkesan. Pasangan yang tidak berterus terang mengenai perasaan dan masalah menyebabkan hubungan semakin tegang.
Selain itu, drama sebegini menekankan kesan buruk kecurangan dalam perkahwinan. Kecurangan bukan sahaja merosakkan hubungan antara suami dan isteri, tetapi juga memberi impak negatif kepada anak-anak dan keluarga.
Pergolakan rumah tangga sering berpunca daripada campur tangan pihak ketiga, sama ada mertua, saudara-mara atau orang luar. Masyarakat boleh belajar daripada situasi ini supaya menjaga batas dalam hubungan kekeluargaan. Meskipun keluarga mertua dan saudara-mara memainkan peranan penting namun mereka tidak seharusnya campur tangan secara berlebihan sehingga merosakkan hubungan perkahwinan.
Pergaduhan antara pasangan kerana wang, perebutan harta dalam kalangan adik-beradik atau sikap suami atau isteri yang terlalu mengejar kemewahan sering menjadi punca keretakan rumah tangga. Kita perlu menyedari kebahagiaan dalam perkahwinan bukan terletak pada harta benda semata-mata, tetapi lebih kepada saling menghargai, mempercayai dan memahami antara satu sama lain.
Selain itu, drama sebegini juga menekankan pentingnya kesabaran dan pengorbanan dalam rumah tangga. Perkahwinan bukanlah sesuatu yang sentiasa indah dan bebas daripada cabaran. Pasangan yang berjaya menempuh dugaan dengan sabar dan bijak mampu mengekalkan keharmonian rumah tangga dalam jangka masa panjang.
Antara pengajaran daripada drama sebegini ialah kesan buruk terhadap anak-anak. Apabila ibu bapa sering bertengkar atau bercerai, anak-anak menjadi mangsa utama yang mengalami tekanan emosi dan psikologi. Dalam banyak kes, mereka membesar dengan perasaan tidak selamat dan sukar mempercayai hubungan yang sihat.
Begitu juga dengan sifat dendam yang hanya membawa kepada lebih banyak penderitaan dan tidak memberi sebarang penyelesaian yang baik. Oleh itu, masyarakat boleh belajar cara menghadapi masalah rumah tangga, keikhlasan untuk memaafkan dan mencari jalan penyelesaian secara harmoni jauh lebih baik daripada terus menyimpan kebencian.
Drama-drama sebegini juga mengingatkan masyarakat tentang pentingnya memilih pasangan hidup dengan bijak. Banyak watak dalam drama yang mengalami masalah rumah tangga kerana membuat keputusan terburu-buru dalam memilih pasangan, sama ada kerana harta, paras rupa atau tekanan daripada keluarga.-UTUSAN
CHE RAHMAH AHMAD
Parit Sulong, Batu Pahat










