Ambil kesempatan perkenal Dasar Pandang Ke Turkiye

Ambil kesempatan perkenal Dasar Pandang Ke Turkiye

HUBUNGAN baik antara Anwar Ibrahim dan Recep Tayyip Erdogan membolehkan Malaysia memperkenalkan Dasar Pandang ke Turkiye yang boleh memanfaatkan negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUNJUNGAN Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Kuala Lumpur baru-baru ini, mencuri tumpuan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara. Malaysia dan Turkiye mempunyai hubungan diplomatik yang semakin kukuh.

Hubungan yang erat ini membuka ruang kepada pelbagai bentuk kerjasama strategik, termasuk dalam bidang pelaburan, pertahanan dan pembangunan sumber manusia khususnya pendidikan tinggi dan latihan sektor awam.

Dalam kerangka ini, wujud peluang besar yang boleh diterokai Malaysia, iaitu memperkenalkan Dasar Pandang ke Turkiye, seiring dengan Dasar Pandang ke Timur sebagaimana diperkenalkan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadikan negara Jepun dan Korea sebagai model pembangunan.

Salah satu elemen utama yang boleh diketengahkan ialah peluang menghantar pelajar cemerlang Malaysia untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di Turkiye dengan tajaan biasiswa. Ketika ini, jumlah pelajar Malaysia di Turkiye masih kecil dan kebanyakan mereka membiayai sendiri kos pengajian atau bergantung kepada biasiswa tertentu.

Dengan memperkenalkan program biasiswa khas untuk pelajar Malaysia ke Turkiye, lebih ramai pelajar dapat menikmati pendidikan berkualiti tinggi dalam pelbagai bidang, terutamanya seni bina dan kejuruteraan.

Erdogan pada ketika ini menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak dari seluruh dunia untuk menyambung pengajian di Turkiye. Dengan perbincangan bilateral antara kedua negara, Malaysia boleh mendapat kelebihan untuk lebih ramai pelajar dari Malaysia dihantar ke Turkiye setiap tahun.

Selain pendidikan, Turkiye mempunyai institusi latihan sektor awam yang berprestij, antaranya Turkiye ve Orta Dogu Amme İdaresi Enstitusu (TODAIE) yang menawarkan program latihan kepimpinan dan pentadbiran awam bertaraf antarabangsa. Kerjasama kedua-dua negara boleh memberi nilai tambah kepada latihan penjawat awam Malaysia, sejajar dengan usaha kerajaan memperkasakan sektor awam agar lebih dinamik dan kompetitif di peringkat global. Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu dimantapkan melalui resepi antarabangsa yang boleh meneruskan kesinambungan prinsip Madani yang kini ditunjangi rapat dalam pentadbiran negara.-UTUSAN

MOHD. RAFIZI RAHMAD
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN