Tujuh planet dapat dilihat lebih jelas selepas Maghrib

Tujuh planet dapat dilihat lebih jelas selepas Maghrib

KEINDAHAN jajaran planet-planet yang tersusun dapat dilihat pada waktu malam selepas Maghrib sebaik sahaja matahari terbenam, termasuklah di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTIMEWANYA pada awal tahun 2025 ini, kesemua tujuh planet yang lain iaitu Zuhal, Utarid, Neptun, Zuhrah, Uranus, Musytari dan Marikh dapat dilihat pada waktu malam yang sama sekiranya tiada gangguan cuaca.

Menariknya, planet-planet ini dapat dilihat dalam keadaan tersusun. Peristiwa ini dikenali sebagai Planet Parade atau perarakan planet. Lebih tepat lagi fenomena ini dipanggil Planet Aligment atau Jujukan/Penjajaran Planet mengikut istilah astronomi, berlaku pada Januari dan Februari tahun ini. Keindahan jajaran planet-planet yang tersusun ini dapat dilihat pada waktu malam selepas Maghrib sebaik sahaja matahari terbenam di mana sahaja termasuklah di Malaysia.

Planet Zuhrah, Zuhal, Musytari dan Marikh dapat dilihat dengan mata kasar, manakala, planet yang lain amat sukar dilihat tanpa alat bantuan disebabkan kedudukannya sama ada terlalu dekat, mahupun terlalu jauh dari matahari.

Tanpa teleskop atau sekurang-kurangnya binokular, tidak kesemua planet ini dapat dilihat dengan jelas. Sebaiknya, untuk mencerap jajaran planet-planet ini adalah dengan menggunakan teleskop optikal canggih dengan apertur lapan inci ke atas. Walau bagaimanapun, teleskop dengan apertur minimum tiga inci juga dapat membantu peminat astronomi untuk melihat planet tersebut, akan tetapi hasilnya amat terhad.

Di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), teleskop asas dan teleskop pintar bermotor yang boleh menjejak objek angkasa secara automatik, digunakan untuk tujuan pengajaran. Aktiviti astronomi dan falak di antara pelajar dan masyarakat sekitar amat penting bagi membuka peluang kepada umum bukan sahaja untuk mengetahui lebih lanjut fenomena astronomi yang menarik, malah dapat membetulkan fahaman penting masyarakat terhadap bidang ilmu ini.

Usaha ini selari dengan ajaran Islam untuk terus meneroka alam ciptaan Allah dalam melihat tanda-tanda kebesaranNya seperti yang disebutkan dalam surah Ali Imran, ayat 190.-UTUSAN

DR. SHAHINO MAH ABDULLAH
Pensyarah Kanan, Astronomi & Falak
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN