Atasi jurang digital abad ke-21

Atasi jurang digital abad ke-21

PIHAK sekolah, kolej dan universiti boleh memasukkan kurikulum literasi digital dalam sistem pendidikan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JURANG pencapaian digital merujuk kepada ketidakseimbangan dalam akses, kemahiran dan penggunaan teknologi digital dalam dalam masyarakat. Di era globalisasi dan digitalisasi yang pesat, keupayaan untuk mengakses dan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) menjadi faktor kritikal dalam meningkatkan kualiti hidup, ekonomi dan pendidikan.

Namun, jurang ini masih wujud di pelbagai negara, termasuk Malaysia, dengan kesannya yang nyata terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

Terdapat beberapa faktor menyumbang jurang pencapaian digital di Malaysia. Faktor ekonomi adalah salah satu punca utama, iaitu kos tinggi untuk peranti digital dan sambungan internet menjadi penghalang bagi golongan berpendapatan rendah. Selain itu, faktor geografi memainkan peranan besar apabila infrastruktur telekomunikasi yang terhad di kawasan pedalaman dan luar bandar menyebabkan sambungan internet yang lemah atau tiada langsung.

Tahap pendidikan juga menyumbang kepada masalah ini, terutama dalam kalangan individu yang kurang berpendidikan dan warga emas yang kekurangan pengetahuan asas teknologi.

Isu jantina turut memberikan impak, terutama dalam perbezaan budaya dan norma sosial menyebabkan wanita kurang akses kepada teknologi. Di samping itu, dasar dan polisi kerajaan yang tidak menyeluruh atau tidak mencukupi dalam membangun infrastruktur teknologi dan meningkatkan literasi digital memperburukkan lagi masalah ini.

Teknologi juga pula berubah dengan pantas menyebabkan mereka yang tidak mendapat pendedahan awal sukar untuk mengejar perkembangan teknologi terkini.

Dalam sektor pendidikan, pelajar di kawasan luar bandar sering ketinggalan kerana kekurangan akses kepada pembelajaran dalam talian.

Dalam sektor ekonomi, perniagaan kecil di luar bandar atau dari golongan kurang mampu sukar bersaing kerana kekurangan akses kepada platform digital seperti e-dagang atau pemasaran dalam talian. Ketidaksamaan pendapatan juga bertambah buruk apabila mereka yang celik teknologi cenderung mendapat pekerjaan yang lebih baik. Pada masa sama, syarikat besar mampu memanfaatkan teknologi terkini memperoleh kelebihan kompetitif yang besar, meninggalkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak beralih ke platform digital jauh di belakang.

Dari segi sosial, masyarakat yang tidak celik digital terpinggir daripada maklumat penting, perkhidmatan kerajaan dalam talian dan peluang sosial. Ini meningkatkan jurang sosial antara golongan yang mempunyai akses kepada teknologi dengan mereka yang tidak.

Dalam sektor kesihatan, mereka yang tidak mempunyai akses kepada internet atau kemahiran digital tidak dapat menikmati perkhidmatan kesihatan dalam talian seperti teleperubatan.

Bagi mengurangkan jurang pencapaian digital, langkah-langkah strategik perlu diambil. Pertama, meningkatkan infrastruktur teknologi, pemberian subsidi dan bantuan kewangan, kerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk menawarkan pelan internet asas pada kos yang sangat rendah.

Pendidikan dan latihan literasi digital perlu diberi perhatian. Pihak sekolah, kolej dan universiti boleh memasukkan kurikulum literasi digital dalam sistem pendidikan. Selain itu, kesedaran dan pemberdayaan jantina perlu dipertingkatkan dengan kempen kesedaran tentang kepentingan teknologi kepada wanita dan komuniti terpinggir.

Akhir sekali, dasar kerajaan yang progresif perlu dirangka untuk menangani jurang digital, termasuk insentif kepada syarikat telekomunikasi untuk meluaskan liputan dan memastikan kos internet berpatutan untuk semua lapisan masyarakat. Polisi ini boleh disokong oleh pengenalan dana khusus untuk pembangunan teknologi di kawasan luar bandar, serta audit berkala terhadap kemajuan yang dicapai dalam mengurangkan jurang digital.-UTUSAN

DR. NORAZWA AHMAD ZOLKIFLI @ UDA
Pensyarah, Jabatan Perdagangan,
Politeknik Nilai

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN