Sistem pendidikan Malaysia kini giat bergerak ke arah menyediakan tenaga kerja yang kompeten, inovatif dan memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Dalam konteks ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi tunjang utama, manakala institusi di bawah Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia (PolyCC) menunjukkan prestasi cemerlang sebagai platform utama untuk melahirkan graduan yang berdaya saing.
TVET PolyCC dirangka untuk memenuhi keperluan industri tempatan dan global. Melalui pendekatan kurikulum yang dipacu industri, kursus yang ditawarkan sentiasa dikemaskini berdasarkan perkembangan teknologi dan permintaan pasaran kerja. Contohnya, kursus dalam bidang automasi, robotik, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara program teras dalam kebanyakan politeknik dan kolej komuniti.
Pelajar diberi peluang menjalani latihan praktikal melalui program latihan industri atau program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), yang menggabungkan pembelajaran di institusi dan di tempat kerja. Pendekatan ini memastikan pelajar bukan sahaja memiliki pengetahuan teori, tetapi juga kemahiran praktikal yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka dalam pasaran kerja.
PolyCC menawarkan pelbagai program di peringkat sijil, diploma dan diploma lanjutan yang diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Salah satu kelebihan utama PolyCC ialah kos pendidikannya yang berpatutan. Dengan subsidi diberikan kerajaan, pelajar dapat menikmati yuran pengajian yang rendah tanpa menjejaskan kualiti pendidikan. Ini memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana melanjutkan pelajaran tanpa beban kewangan yang berat.
Selain itu, bantuan kewangan seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), dermasiswa dan biasiswa juga disediakan untuk pelajar.
Kajian menunjukkan kadar kebolehpasaran graduan TVET PolyCC melebihi 90 peratus, satu pencapaian yang mengukuhkan reputasi institusi ini sebagai penyedia tenaga kerja berkualiti.
Dalam landskap pendidikan yang semakin kompetitif, TVET PolyCC membuktikan institusi iini sebagai pilihan utama bagi pelajar dan majikan. Dengan program yang relevan, kos berpatutan, tenaga pengajar berkualiti dan sokongan kukuh daripada kerajaan, PolyCC terus memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja yang kompeten serta berdaya saing.
Sistem pendidikan terkini yang berfokus kepada digitalisasi dan pembelajaran sepanjang hayat semakin memperkukuhkan kedudukan PolyCC sebagai peneraju TVET di Malaysia. Oleh itu, wajar untuk mengatakan bahawa PolyCC bukan sahaja menjadi pilihan utama, tetapi juga simbol kepada masa depan pendidikan yang inklusif, progresif dan berorientasikan kemahiran.-UTUSAN
MOHD. KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Pensyarah Kanan,
Jabatan Pengajian Am,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT)










