PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini dalam proses melakukan penstrukturan baharu terhadap skuad kebangsaan dengan perlantikan Peter Cklamovski dari Australia sebagai jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya dan Nafuzi Zain sebagai pengendali skuad bawah 23 (B-23).
Selain struktur baharu barisan kejurulatihan bagi skuad Harimau Malaya, satu perkara penting yang mesti diubah walaupun kecil adalah logo di dada jersi Harimau Malaya. Setakat ini hanya logo FAM sahaja yang terpapar di dada jersi Harimau Malaya sedangkan pasukan negara bola sepak di seluruh dunia hatta pasukan nombor satu di dunia hanya memaparkan bendera negara masing-masing di dada jersi pasukan bolasepak mereka. Bukan logo persatuan bolasepak negara mereka.
Apakah FAM berasa hebat dengan tertera logo persatuan di jersi pasukan skuad Harimau Malaya berbanding bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’? Manakah yang lebih mulia lebih baik? Logo FAM atau ‘Jalur Gemilang’?
Tak malukah FAM dengan persatuan-persatuan sukan negara kita yang lain apabila mereka memaparkan bendera Malaysia ‘Jalur Gemilang’ di jersi-jersi pemain-pemain mereka. Hebat sangatkah FAM berbanding persatuan-persatuan sukan tersebut sehingga sanggup mengenepikan bendera Malaysia, Jalur Gemilang di jersi skuad Harimau Malaya.
Lihat contoh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila semua pemain- pemain mereka memakai jersi yang terpapar bendera negara.
Terharu rasanya apabila setiap kali menang dalam perlawanan badminton, pemain- pemain negara akan mencium bendera Jalur Gemilang di jersi.
Tidak terharu dan banggakah? Maka diharap FAM mulakan langkah pembaharuan pada jersi skuad Harimau Malaya dengan memaparkan bendera negara di jersi.
Semoga dengan langkah ini pemain-pemain skuad bola sepak Harimau Malaya akan bersemangat dan bermain bersungguh-sungguh demi bendera Malaysia di jersi mereka.-UTUSAN
HARIMAU MALAYA PASTI BERJAYA
Zamri Bahar Pontian, Johor










