PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menasihatkan rakyat Malaysia agar memulakan tahun baharu 2025 dengan menanam sayur.
CAP percaya 2025 akan lebih mencabar buat pengguna lebih-lebih lagi dengan peningkatan kos sara hidup.
Untuk mengurangkan beban kenaikan harga sayur, CAP menggesa pengguna agar menanam apa sahaja jenis sayur dan herba bermula tahun baharu ini.
Jika di kawasan anda mempunyai banyak kebun, anak-anak berpeluang untuk mempelajari mengenai kemampanan dan berkebun. Ajar anak-anak untuk berkebun. Jika membawa anak-anak bermain di luar, maka inilah peluang terbaik untuk mengajar mereka mengenai berkebun. Mereka boleh mempelajari manfaat menanam makanan mereka sendiri.
Kita boleh menunjukkan bagaimana semua tumbuhan tumbuh. Ini bukan sahaja menarik golongan kanak-kanak untuk belajar mengenai proses penanaman tetapi dalam masa sama mereka dididik tentang tanggungjawab menjaga planet ini.
Jika berkebun adalah sesuatu yang sukar ekoran kekangan masa dan kekurangan ruang, masih terdapat cara lain bagi kanak-kanak belajar mengenai proses menanam tanaman.
Unjuran oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menunjukkan untuk memberi makan penduduk dunia yang berjumlah 9.1 bilion orang pada 2050 secara keseluruhannya memerlukan peningkatan pengeluaran makanan kira-kira 70 peratus antara 2005/07 dan 2050.
Kebanyakan unjuran peningkatan dalam permintaan makanan global dijangka datangnya daripada peningkatan pendapatan pengguna di rantau Asia, Eropah Timur dan Amerika Latin.
Hujan dan banjir menyebabkan kesukaran kepada petani untuk menghasilkan produk makanan serta dalam masa sama mereka perlu menanggung kerugian. Krisis iklim juga merupakan salah satu penyebab peningkatan masalah kebuluran di dunia ini.
Ramai petani menghubungi CAP mengadu mengenai masalah harian termasuklah peningkatan harga input pertanian, tidak mampu untuk mendapatkan pekerja dan hujan yang berterusan memusnahkan tanaman mereka.
Sehubungan itu, kami menggesa pengguna untuk menanam sayur di rumah, yang boleh menjimatkan kos. Menanam sayur untuk dimakan tidak memerlukan ruang yang banyak. Tanaman seperti bendi, terung, cili dan sayur berdaun seperti sawi, kangkung, kailan, bayam serta tumbuhan saka seperti pudina, pegaga, kesum dan selom amat mudah untuk ditanam malah ia boleh di tanam di balkoni rumah.
Barangan isi rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, botol jus dan bekas minuman boleh digunakan untuk tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang kecil seperti sayur berdaun.
Bagi tanaman yang akarnya lebih dalam seperti bendi, terung, cili, barangan seperti tin biskut, tin minyak lima liter dan botol air lima hingga 20 liter boleh digunakan sebagai bekas tanaman.
Dengan cahaya matahari, air, tanah yang subur dan kompos yang sesuai, sesiapa sahaja boleh menanam dan menuai sayur walaupun dalam ruang yang sempit.
Dengan kenaikan kos sara hidup, menanam sayur, herba dan buah-buahan sendiri boleh menjimatkan wang bagi perbelanjaan barangan runcit. Anda juga boleh mendidik anak-anak mengenai asal usul makanan yang dimakan mereka. Mulakan 2025 dengan menanam benih untuk masa depan.-UTUSAN
FATHIMA MOHD IDRIS
Naib Presiden, Persatuan
Pengguna Pulau Pinang (CAP)









